KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia mewajibkan pensijilan halal bagi pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan dan minuman (F&B) yang beroperasi di negeri itu.
Ia menyusuli langkah kerajaan negeri itu mensyaratkan sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan bagi pemilik dan pengusaha premis F&B.
Ketika ini, pensijilan halal untuk pengusaha F&B di Malaysia adalah bersifat sukarela sejak Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dilaksanakan pada 1974.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Encik Mohd Asri Mat Daud, berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), mewajibkan perkara itu.
“Bagaimanapun, pelaksanaan berkenaan akan diperluaskan kepada PBT-PBT lain di negeri ini,” katanya lapor portal berita Free Malaysia Today.
Beliau berkata pada masa yang sama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) turut membuka peluang untuk mendapatkan sijil halal kepada industri kecil, perhotelan serta individu mengusahakan produk makanan serta minuman di rumah.
Menurutnya, setakat Januari hingga Disember 2024, sebanyak 453 premis diiktiraf sebagai pemilik sijil halal di Kelantan.
Beliau berkata hampir 80 peratus premis berkenaan, pemiliknya adalah Melayu/Islam dan selebihnya bukan Islam.
“Di Kelantan tiada isu orang bukan Islam rasa rigid (ketat) dengan sijil halal... mereka boleh terima. Sementara itu setiap tahun Jaheaik akan membuat pemantauan mengejut untuk tujuan pemeriksaan ke atas semua premis yang memiliki sijil halal,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Encik Syahbuddin Hashim, menggesa kerajaan Kelantan memberi tempoh peralihan mencukupi kepada pemilik dan pengusaha premis F&B untuk mendapatkan sijil halal sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan.
Beliau berkata walaupun niat itu baik, ia tidak seharusnya membebankan pemilik dan pengusaha premis.
“Kami menghormati usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan standard halal, kebersihan dan integriti perniagaan makanan di Kelantan seiring dengan imej negeri sebagai Serambi Makkah.
“Namun, kami berpandangan pelaksanaan ini memerlukan kajian terperinci dan pelan sokongan yang jelas bagi memastikan ia tidak membebankan pengusaha terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Adun Umno itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg