Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bomba hentikan selaman pada hari ke-8 operasi dek risiko tinggi

Pasukan penyelam berdepan halangan keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan
Aug 30, 2024 | 5:02 PM
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi mencari mangsa tanah jerlus warga India di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi mencari mangsa tanah jerlus warga India di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menghentikan kaedah penyelaman pada hari kelapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada awal pagi 30 Ogos, kerana terlalu berisiko.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata keputusan itu dibuat kerana pasukan penyelam berdepan halangan yang keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan itu, yang meningkatkan risiko keselamatan.

“Selepas kita berbincang secara taktikal dan berdasarkan maklum balas daripada dua penyelam yang masuk dalam (saluran), saya dapat rumuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha selaman dan secara fizikal untuk mengesan mangsa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Berkongsi detik cemas kegiatan selaman itu, Datuk Nor Hisham, berkata dua penyelam JBPM dan syarikat kumbahan melakukan selaman pada 4 pagi.

Beliau berkata selepas memasuki saluran kumbahan kira-kira 18 meter dari lokasi kejadian, pasukan SAR mendapati tiada ruang untuk meneruskan selaman, malah pasukan penyelam terpaksa meniarap untuk memasuki lokasi pencarian.

Menurutnya, penyelaman itu dihentikan berikutan peningkatan air di saluran.

“Apabila kita hantar pasukan penyelam pada 4 pagi itu, saya pun hilang kata-kata, berdebar sebab kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang 0.6 meter, mula meniarap dan merangkak.

“Kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada piston effect (kesan omboh) daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, kita terus berkomunikasi dengan penyelam melalui telekomunikasi bawah air supaya mereka selesa.

“Sebenarnya ia terlampau berisiko di lokasi 18 meter, ada bongkah yang tak boleh lalu, (penyelam) cuba terajang pun ia tak bergerak.

“Kalau penyelam pergi juga, mereka mungkin boleh pergi sebab ditolak arus, tetapi nak balik dari lubang itu kemungkinan kalah dengan piston effect, jadi sangat bahaya,” katanya.

Datuk Nor Hisham berkata JBPM turut menghantar dua unit kamera bawah air di kawasan SAR dan merakam beberapa imej termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.

“Walaupun kita dapat imej kain, tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan itu milik sesiapa sebab dalam (saluran) itu memang macam-macam (sisa) ada. Secara nyata kamera itu tidak menunjukkan imej badan sebab arus air begitu kuat,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulangi jaminan bahawa Kuala Lumpur adalah bandar raya yang selamat untuk dikunjungi.

Berikutan itu, rakyat khususnya pelancong yang ke ibu kota itu tidak perlu gusar dan bimbang susulan kejadian tanah jerlus di Masjid India pada 23 Ogos.

Datuk Anwar berkata beliau sudah melalui kawasan kejadian tanah jerlus itu dan tindakan segera sudah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi perkara itu.

“(Melalui laporan) tanah mendap (jerlus) itu sudah di establish through technical study (diperakukan melalui kajian teknikal) dan tidak ada sebarang masalah (setakat ini),” katanya.

Pada 8.20 pagi, 23 Ogos lalu, pelancong warga India, Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, hilang sejurus sahaja terperosok ke dalam lubang selepas tiba-tiba berlaku tanah jerlus, ketika beliau berjalan kaki di Jalan Masjid India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg