Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Genap seminggu kejadian, mangsa masih belum ditemui

Kerajaan henti sementara pembangunan di KL sehingga satu jawatankuasa ditubuhkan dalam masa segera
Aug 29, 2024 | 6:29 PM
Anggota Pasukan Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turun ke lurang kumbahan di tempat kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, untuk operasi mencari wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus pada 23 Ogos.
Anggota Pasukan Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turun ke lurang kumbahan di tempat kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, untuk operasi mencari wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus pada 23 Ogos. - Foto BERNAMA

Tarikh 29 Ogos, genap seminggu usaha mencari dan menyelamat wanita warga India yang hilang setelah terperlus dalam tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur.

Namun, belum ada sebarang petunjuk baru mangsa akan ditemui setakat ini.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus komited meneruskan operasi SAR pada hari ketujuh, dengan terkini melakukan tindakan menyedut air dalam lurang kumbahan berhampiran kawasan tanah jerlus di lokasi tumpuan pelancong itu.

Ini selepas penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berdepan halangan untuk menghampiri sekatan objek yang dikesan dalam lurang kumbahan kedua di tempat kejadian, ketika melakukan operasi SAR kira-kira 3 pagi, 29 Ogos, berikutan arus yang terlalu deras.

Usaha SAR dilakukan dua penyelam dari Pasukan Penyelam JBPM itu menyusuli dapatan diperoleh menerusi khidmat dua anjing Unit Pengesan (K9) yang dibawa ke tempat kejadian, selain pengesanan kamera.

Tinjauan Berita Harian (BH) di Jalan Masjid India mendapati kawasan tempat kejadian ditutup dengan pita kuning dan masih dikawal ketat pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sementara pasukan JBPM giat menyertai operasi SAR dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK).

Di loji Pantai Dalam, Kuala Lumpur, yang juga lokasi tumpuan pencarian mangsa, dilaporkan anggota bomba memasuki loji rawatan kumbahan IWK yang difahamkan sedalam bangunan lima tingkat.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Encik BN Reddy, dilihat hadir meninjau tempat kejadian di Masjid India kira-kira 3.30 petang, 29 Ogos.

Beliau diberikan taklimat operasi mencari SAR oleh pihak berkuasa.

Kerajaan Malaysia turut giat melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan keselamatan kawasan tumpuan ramai itu.

Menteri di Jabatan Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menegaskan buat masa ini semua projek pembangunan baru di ibu kota Kuala Lumpur akan ditangguhkan buat sementara waktu, sehingga satu jawatankuasa ditubuhkan dalam masa segera.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia, menerusi DBKL, sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) pembangunan di Kuala Lumpur bagi memastikan setiap pembangunan selamat, termasuk dengan melakukan kajian geoteknikal yang kebiasaannya hanya dilakukan di kawasan bercerun.

“Untuk masa akan datang, kita akan lihat juga keperluan kajian itu untuk kawasan rata. Ini kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu dan taburan hujan terlalu tinggi menyebabkan struktur tanah menjadi lebih lembut,” katanya.

Menurut Dr Zaliha, DBKL juga dalam usaha membuat pemetaan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tanah mendap serta isu bencana lain yang mungkin dianggap tidak selamat.

Sementara itu di Kota Bharu, Kelantan, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan buat masa ini tiada keperluan untuk mewartakan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India sebagai zon tidak selamat.

“Walaupun kejadian ini bukan dianggap bencana, namun tindakan polis termasuk bomba dan agensi berkaitan serta IWK seolah-olah seperti bencana.

“Susulan lokasi kedua mendapan dikesan, saya sudah mengarahkan laluan sepanjang 1.4 kilometer di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut ditutup,” katanya.

Dalam kejadian malang kira-kira 8.30 pagi pada 23 Ogos , Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, terperosok ke dalam lubang sedalam lapan meter selepas tiba-tiba berlaku tanah jerlus di laluan pejalan kaki di Masjid India.

Mangsa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg