Topic followed successfully
Go to BHkuKeluarga mangsa lubang benam KL tuntut pampasan
Keluarga mangsa lubang benam KL tuntut pampasan
Mangsa warga India adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga dan tanggung suaminya yang sakit
Keluarga mangsa lubang benam KL tuntut pampasan
KLANG: Keluarga G Vijaya Lakshmi, pelancong India yang hilang setelah terperosok ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada Ogos 2024, kini menuntut pampasan setimpal daripada kerajaan Malaysia.
Peguam mangsa, Encik M Partiben, berkata pihaknya berharap dapat bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Cik Hannah Yeoh dan Datuk Bandar DBKL, Datuk Fadlun Mak Ujud, dalam tempoh dua minggu hingga sebulan selepas sijil kematian Vijaya, 48 tahun, dikeluarkan pada 6 Mei.
Jumlah pampasan yang dituntut masih belum dimuktamadkan, katanya.
Namun, keluarga mangsa merujuk keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini, yang mengarahkan DBKL membayar sekitar RM824,000 ($320,000) sebagai ganti rugi atas kematian seorang kanak-kanak akibat dihempap pokok tumbang, berpunca daripada kecuaian.
“Kami menggesa kerajaan, terutamanya DBKL, merujuk dan mengambil kira keputusan mahkamah itu dalam menetapkan jumlah pampasan yang adil bagi kes ini.
“Perbandingan dengan kes terbaru itu perlu dibuat kerana dalam tragedi lubang benam ini, unsur kecuaian jelas berlaku, melibatkan isu utiliti bawah tanah dan faktor geologi,” katanya pada sidang media di Klang, Selangor, pada 7 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, Encik Partiben tidak menolak kemungkinan tindakan mahkamah jika tawaran pampasan kelak didapati tidak memuaskan atau tidak munasabah.
“Persoalan sama ada isu pampasan ini akan dipertikaikan di mahkamah, jawapannya, buat masa ini tidak, kerana kami ingin berunding dahulu dengan agensi kerajaan berkaitan, DBKL, serta menteri,” jelasnya.
Menurut Encik Partiben, Vijaya adalah satu-satunya sumber rezeki keluarga dan menanggung suaminya yang menderita pelbagai komplikasi kesihatan termasuk diabetes, penyakit jantung, serta masalah pergerakan akibat gangguan saraf.
Seorang lagi peguam, Encik Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, menggesa agensi kerajaan mempercepatkan proses pampasan atau bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Beliau berkata, waris mangsa terpaksa berulang-alik antara India dan Malaysia selama hampir dua tahun bagi menguruskan urusan berkaitan kes itu termasuk mendapatkan sijil kematian.
Katanya, pelbagai kategori tuntutan ganti rugi yang perlu diteliti dalam prosiding mahkamah termasuk ganti rugi khas dan am, selain faktor usia serta pendapatan mangsa ketika kejadian.
“Setiap satu atau dua bulan mereka perlu berulang-alik antara Malaysia dan India, sekali gus membabitkan kos tinggi termasuk tiket penerbangan dan penginapan. Namun, mereka tiada pilihan selain datang ke sini bagi mendapatkan sijil kematian,” katanya lagi.
Sementara itu, Encik Partiben berkata, keluarga mangsa terus bergelut dengan kesukaran kewangan, termasuk hutang di India dianggarkan berjumlah 450,000 rupee ($6,000).
Beliau berkata, waris mangsa yang kembali bekerja di India turut kehilangan pekerjaan baru-baru ini, selepas mengambil cuti tambahan bagi menguruskan urusan sijil kematian.
Vijaya dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terbentuk ketika berjalan di Jalan Masjid India pada 23 Ogos 2024.
Walaupun operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi, mangsa tidak pernah ditemukan.
Pada 27 Februari lalu, keluarga mangsa menggesa kerajaan mengeluarkan sijil kematian, suatu langkah penting bagi membolehkan tuntutan pampasan dimulakan.
Sebelum ini, Vijaya masih diklasifikasikan sebagai orang hilang, dan atas sebab itu sijil kematian belum dapat dikeluarkan.

