Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemarau panjang jejas pengeluaran padi di M’sia

Aug 13, 2024 | 12:45 PM
Tiga kawasan bendang di Keluak, Kuau Hulu dan Kuau Hilir, di Bachok, Kelantan, yang membabitkan sawah seluas 350 hektar berdepan masalah air dan padi yang rosak akibat musim kemarau yang berpanjangan.
Tiga kawasan bendang di Keluak, Kuau Hulu dan Kuau Hilir, di Bachok, Kelantan, yang membabitkan sawah seluas 350 hektar berdepan masalah air dan padi yang rosak akibat musim kemarau yang berpanjangan. - Foto NSTP

GUA MUSANG (Kelantan): Malaysia masih berdepan masalah kekurangan pengeluaran beras susulan musim kemarau yang panjang di Kelantan dan Lembah Kerian, Perak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bagaimanapun berkata kerajaan memberi jaminan bekalan beras untuk menampung keperluan dalam negara setakat ini masih mencukupi.

Beliau berkata keadaan ini sama seperti di Singapura yang mempunyai bekalan makanan mencukupi kerana membuat pelaburan di luar negara.

“Kita kurang bekalan kerana tidak melabur di luar negara, sebaliknya perlu sediakan (bekalan beras) dalam negara.

“Bagaimanapun, di negara lain kita buat hubungan yang baik supaya kalau berlaku kekurangan beras misalnya, cepat-cepat kita dapatkan tambahan dari Thailand, Vietnam atau negara lain,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Mohamad berkata pihaknya setakat ini belum membuat bancian kerugian dialami pesawah susulan cuaca kemarau berpanjangan di Kelantan dan Lembah Kerian, Perak.

“Jadi, kita tidak dapat menganggar kerugian tetapi berlaku kelewatan penanaman padi seperti di Kelantan.

“Kita cuba mendalamkan kawasan pam air di empangan Kemubu, Kelantan, termasuk di seluruh negara.

“Sabah dan Sarawak juga berpotensi untuk pengeluaran beras pada masa depan, jadi kerajaan perlu berbelanja besar,” katanya.

Cuaca panas dan kering yang berpanjangan di Malaysia sejak beberapa bulan juga telah menjejaskan hasil ternakan, paras empangan kering dan kritikal, selain peningkatan jumlah pembakaran hutan dan belukar.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee, berkata tumbesaran ayam merosot sehingga kira-kira 70 peratus akibat cuaca panas, menyebabkan penternak ayam tempatan berdepan situasi tumbesaran ternakan yang perlahan, seterusnya pengeluaran yang bersaiz kecil.

“Lazimnya, dalam tempoh 35 hari tumbesaran ayam, berat ternakan akan mencapai tiga kilogram, namun ketika ini dalam tempoh yang sama, berat ayam hanya mencapai kira-kira sekilo sahaja,” katanya.

Di Pahang, air Sungai Pahang yang surut melampau menyebabkan 24 penternak ikan sangkar di Kampung Sanding dan Chenor, kerugian lebih RM122,000 ($35,708), apabila puluhan ribu ikan pelbagai saiz yang diternak mati, yang turut disebabkan faktor air sungai berubah panas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga merekodkan peningkatan berganda bilangan panggilan kecemasan membabitkan kes pembakaran terbuka sepanjang tempoh kemarau ini, dengan sebanyak 1,800 panggilan berkaitan pembakaran terbuka diterima pada Julai, berbanding hanya 610 pada Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg