KUCHING: Dua anggota tentera Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri, Sarawak, pada 9 April, atas tuduhan menyebabkan kematian rakan sepasukan mereka pada 24 Mac.
Ia selepas didakwa mengarahkan mangsa untuk melakukan kegiatan commando rest – pacak kepala di lantai, tangan ke belakang – sebelum bersahur.
Muhammad Afiq Syarim, 23 tahun, dari Bedong, Kedah, dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21 tahun, dari Tumpat, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana membunuh Allahyarham Muhammad Muqriz Aseri, 21 tahun.
Berdasarkan kertas tuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara 2.15 pagi dengan 3.05 pagi, pada 24 Mac.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri, lapor Berita Harian Malaysia.
Kededua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk faham selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret Ashok kemudian menetapkan 30 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan kededua tertuduh menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Dalam kejadian sekitar 2.15 pagi 24 Mac, Muhammad Muqriz, dilaporkan sedang tidur di berek bujang Kem Sri Miri apabila dikejutkan oleh dua anggota senior itu untuk bersahur.
Namun sebelum bersahur, anggota senior terbabit dikatakan mengarahkan mangsa untuk melakukan kegiatan commando rest selama dua minit dan tekan tubi 20 kali.
Mangsa yang berpeluh dilaporkan kemudian berdiri sebelum terus pitam.
Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Beliau kemudian menghantar anggota tentera terbabit ke Hospital Miri, sebelum doktor di situ mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 3.05 pagi.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan pada 26 Mac memaklumkan punca kematian Allahyarham Muhammad Muqriz adalah akibat trauma tumpul pada dada, yang merujuk hentakan kuat pada bahagian dada dan menyebabkan kerosakan pada jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg