Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendaftaran pelarian bukan jaminan jadi warganegara M’sia
Pendaftaran pelarian bukan jaminan jadi warganegara M’sia
Kementerian: Inisiatif bertujuan perkukuh kawalan migrasi, jamin keselamatan negara
Pendaftaran pelarian bukan jaminan jadi warganegara M’sia
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) bukanlah laluan untuk mendapatkan kewarganegaraan, taraf Pemastautin Tetap (PR), mahupun hak menetap kekal di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, KDN menjelaskan bahawa inisiatif yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia di Semenanjung ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kawalan migrasi dan menjamin keselamatan negara.
“Prinsip Kerajaan jelas... keselamatan negara adalah keutamaan mutlak. Namun, isu pelarian tetap diuruskan dengan tertib, berlandaskan undang-undang, serta mengambil kira nilai kemanusiaan selaras dengan realiti serantau dan antarabangsa.
“Kerajaan Madani percaya bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat. Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pelaksanaan DPP adalah langkah penting ke arah pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Isu pelarian perlu diuruskan secara berhemah, berasaskan fakta serta mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan mencerminkan pendirian Kerajaan Madani dalam menangani salah satu cabaran migrasi paling kompleks yang dihadapi negara sejak sekian lama.
“Hakikatnya, Malaysia sudah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR selama berpuluh tahun,” katanya.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, kerajaan belum memiliki data lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti, serta latar belakang individu yang berada di dalam negara atas kapasiti tersebut.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri.
“Atas sebab itu, berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), KDN melalui imigresen sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia.
“Proses ini membabitkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian,” katanya.
Katanya, melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terbabit dikenal pasti dengan lebih tepat.
