Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeputusan PRN Johor tidak boleh bebaskan Najib daripada penjara
Keputusan PRN Johor tidak boleh bebaskan Najib daripada penjara
Keputusan PRN Johor tidak boleh bebaskan Najib daripada penjara
PUTRAJAYA: Tiada sebarang undang-undang di Malaysia yang membolehkan seseorang individu yang dipenjarakan, dibebaskan daripada hukuman hanya kerana keputusan pilihan raya.
Itu tegas Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, berhubung naratif ‘undi Barisan Nasional (BN), bebas Najib’ yang dimainkan segelintir pihak bagi menghangatkan kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Datuk Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata dakwaan bahawa kemenangan BN dalam PRN Johor boleh membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, adalah tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, perkara berkaitan pembebasan atau pengampunan tidak akan ditentukan melalui pilihan raya.
“Mana ada. Tak ada undang-undang mengatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa.
“Yang berlaku hari ini ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti saya sebut sebelum ini.
“Tak ada kena-mengena dengan politik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pembukaan Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 di Putrajaya, Malaysia pada 7 Julai, lapor Kosmo!.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PRN Johor diadakan awal semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan Encik Najib.
Naratif sama turut dimainkan calon PH ketika berkempen di PRN itu.
Encik Najib yang juga bekas Presiden Umno kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, selepas disabitkan bersalah disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020.
Pertuduhan itu melibatkan dana SRC International bernilai RM42 juta ($13.31 juta).
Beliau dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan itu pada 2020, namun diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan pada Januari 2024, menjadikan hukuman penjara dipendekkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta.
Pada 26 Disember 2025, Encik Najib dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda berjumlah RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas disabitkan kesalahan terhadap pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu disabitkan bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Dalam perkembangan sama, Datuk Azalina turut melahirkan keyakinan terhadap jentera BN yang disifatkannya menjalankan kempen secara teratur dan tersusun di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau berkata sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam politik negara, BN memberi tumpuan kepada isu yang menjadi keutamaan rakyat di negeri berkenaan.
“Saya tengok kempen BN di DUN memang sangat teratur. Cara kita berkempen banyak memberi fokus kepada keutamaan rakyat dalam negeri tersebut.
“Kita juga ada program keluarga angkat dari negeri-negeri lain yang banyak membantu memperkukuhkan kempen serta memberi penekanan kepada isu-isu tempatan,” katanya.
