Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penurunan harga petrol RON95 ringankan kos sara hidup warga M’sia

Penyasaran subsidi petrol tangani ketirisan kepada warga asing
Sep 23, 2025 | 2:12 PM
subsidi petrol, M’sia, RON95, ringankan kos sara hidup
Bermula 30 September, warga Malaysia akan menikmati harga petrol bersubsidi lebih murah iaitu RM1.99 ($0.60) seliter, manakala warga asing perlu membeli petrol RON95 pada harga RM2.60 seliter. - Foto BERNAMA

Pengumuman penyasaran subsidi petrol RON95 serta penurunan harganya buat warga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September, disifatkan orang ramai sebagai ‘hadiah’ yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang ekonomi dan politik. 

Berita gembira itu disambut penuh kesyukuran dan penghargaan kepada kerajaan pimpinan Datuk Anwar, terutama langkah melaksanakan penyasaran subsidi yang disifatkan pendekatan bersejarah dan berani.

“Sebagai rakyat berpendapatan sederhana, tentulah kami gembira kerajaan tunaikan janji turunkan harga minyak (petrol).

“Walaupun hanya berbeza enam sen, sedikit sebanyak ia dapat kurangkan kos sara hidup khususnya kepada saya yang banyak memandu berulang-alik bertemu pelanggan.

“Paling penting, kerajaan dapat kurangkan bebanan menanggung subsidi petrol yang selama ini turut dinikmati warga asing dan ia dapat dikembalikan semula kepada rakyat dan pembangunan negara,” kata Cik Suria Putri Zainal, 38 tahun, yang bekerja sebagai jurujual alat penapis air.

Jurujual alat penapis air, Cik Suria Putri Zainal, 38 tahun.
Jurujual alat penapis air, Cik Suria Putri Zainal, 38 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN
Jurujual alat penapis air, Cik Suria Putri Zainal, 38 tahun.
Jurujual alat penapis air, Cik Suria Putri Zainal, 38 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pada 22 September, Datuk Anwar mengumumkan Malaysia akan beralih kepada sistem subsidi bersasar bermula 30 September menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95). 

Bermula tarikh itu, harga petrol bersubsidi RON95 buat warga Malaysia diturunkan kepada RM1.99 ($0.60) seliter daripada RM2.05 ketika ini, manakala warga asing yang bermastautin dan menggunakan plat Malaysia dijangka bayar RM2.60 seliter.

Pembelian petrol bersubsidi untuk lebih 16 juta warga Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif memerlukan mereka menyertakan kad pengenalan (MyKad) untuk disahkan, dengan had 300 liter sebulan setiap seorang.

Encik Hamidun Mohd Nor, 58 tahun, pekebun yang bekerja sendiri.
Encik Hamidun Mohd Nor, 58 tahun, pekebun yang bekerja sendiri. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN
Encik Hamidun Mohd Nor, 58 tahun, pekebun yang bekerja sendiri.
Encik Hamidun Mohd Nor, 58 tahun, pekebun yang bekerja sendiri. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Encik Hamidun Mohd Nor, 58 tahun, kerajaan Malaysia selama ini sudah sekian lama bertolak ansur dengan pemandu warga asing yang turut menikmati subsidi petrol dan langkah kerajaan menyasarkan subsidi bahan api itu sudah lama dinantikan rakyat Malaysia.

“Ia keputusan tepat dan berani oleh kerajaan.

“Selama ini kita rasa kurang senang tengok kenderaan asing isi petrol RON95 terutama yang banyak berlaku di kawasan sempadan negara seperti Johor dan Kelantan. Jadi pendekatan sekarang lebih adil.

“Cuma harapan kita supaya pendekatan ini dikekalkan walaupun andainya kerajaan bertukar pada masa akan datang,” katanya dari Bentong, Pahang, yang bekerja sendiri.

Pengarah di sebuah syarikat kitar semula logam di Klang, Selangor, Encik Stanley Chen, 30 tahun, juga warga China, menghormati keputusan kerajaan Malaysia dan berkata harga RON95 tanpa subsidi masih munasabah di Malaysia.

“Ya itu hak kerajaan Malaysia. Sebagai warga asing, kita hormati.

“Dalam industri hotel pun warga asing ada caj tertentu dan di kebanyakan negara pun harga sesetengah perkhidmatan dan barangan untuk warga asing berbeza dengan penduduk tempatan,” katanya yang pernah bekerja setahun di Singapura.

Kakitangan stesen minyak di Gombak, Selangor, Encik Handri Ayob, 35 tahun.
Kakitangan stesen minyak di Gombak, Selangor, Encik Handri Ayob, 35 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Kakitangan stesen minyak Shell di Gombak, Selangor, Encik Handri Ayob, 35 tahun, berharap pelaksanaan Budi95 kelak berjalan lancar dan tiada kejadian seperti mana kesesakan ketika penebusan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 di pasar raya seluruh Malaysia baru-baru ini.

“Setakat ini kami sudah dimaklumkan mengenainya, cuma belum terima peralatan yang akan digunakan. 

“Langkah kerajaan melaksanakan Budi95 ini bagus kerana selama ini memang sukar untuk kita mengekang warga asing daripada membeli petrol bersubsidi kerana lazimnya mereka licik dengan memilih pam yang agak tersorok,” katanya.

Sementara itu, dengan kewajipan menyertakan MyKad untuk pembelian petrol bersubsidi, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara dibanjiri orang ramai yang mahu memperbaharui cip MyKad bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah mendapatkan manfaat Budi95.

Orang ramai memenuhi kaunter Jabatan Pendaftaran Negara di serata Malaysia untuk penggantian kad pengenalan atau MyKad sebelum pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95). 
Orang ramai memenuhi kaunter Jabatan Pendaftaran Negara di serata Malaysia untuk penggantian kad pengenalan atau MyKad sebelum pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95).  - Foto BERNAMA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg