KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menambah bekalan simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik sebagai langkah persediaan awal menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan krisis tenaga sejagat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah itu bertujuan memastikan bekalan beras negara kekal mencukupi dan terjamin, selain menjaga keperluan asas rakyat.

“Kerajaan sentiasa memantau keadaan dan terus bekerja untuk memastikan keperluan asas semua terjaga dengan baik. Pada masa sama, saya nak ajak semua rakyat agar terus berjimat cermat dan elakkan pembaziran.

“Insya-Allah, segala usaha ini adalah demi memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa kukuh, dan setiap rakyat terus menikmati bekalan mencukupi dan terjamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 20 April, lapor Harian Metro.

Pada 13 Mac lalu, Datuk Mohamad dilaporkan berkata kerajaan bersetuju meningkatkan stok simpanan beras negara hingga tempoh sembilan bulan sebagai langkah awal memastikan keterjaminan bekalan makanan negara susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.

Baru-baru ini, media Malaysia melaporkan mengenai gangguan bekalan beras di Sabah apabila terdapat laporan kedai kehabisan bekalan beras.

Bagaimanapun, pada 18 April, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, dilaporkan berkata bekalan beras di negeri itu kini kembali stabil hasil pemantauan rapi serta peningkatan pengeluaran oleh pihak berkaitan.

Datuk Jamawi berkata, pihaknya memastikan bekalan penimbal beras sentiasa mencukupi bagi tempoh sehingga enam bulan sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan krisis bekalan.

“Stok beras kita perlu ada sehingga enam bulan. Bukan bermaksud enam bulan (beras) itu akan habis sekali gus, tetapi ia berperingkat dan sentiasa mencukupi.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan seperti negara pengeksport tidak menghantar beras, kita masih mempunyai tempoh untuk mencari sumber alternatif tanpa menjejas bekalan kepada rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, bagi memastikan keterjaminan bekalan beras negara, Datuk Mohamad, sebelum ini berkata kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi membantu pesawah yang terkesan akibat kenaikan kos input pertanian, susulan lonjakan harga bahan api sejagat.

Menurutnya, saranan yang sedang dipertimbangkan termasuk penggunaan kad armada bagi jentera pertanian serta peningkatan insentif pembajakan dan penuaian padi.

“Cadangan lain seperti peningkatan kadar Insentif Pembajakan dan Penuaian Padi, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan sekali beri kepada pekebun masih dalam penelitian kerana melibatkan komitmen kewangan yang besar,” katanya.

Datuk Mohamad berkata peningkatan harga bahan api dunia telah memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran pertanian termasuk harga baja, racun serta kos perkhidmatan jentera yang banyak bergantung kepada bahan api diesel.