Kerajaan M’sia wajibkan subjek Bahasa Melayu, Sejarah di semua sekolah
Kerajaan M’sia wajibkan subjek Bahasa Melayu, Sejarah di semua sekolah
Permudah laluan bagi pelajar sekolah menengah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama ke universiti awam
Pertikaian berpanjangan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk kemasukan ke universiti awam (UA) di Malaysia akhirnya reda.
Kunci penyelesaiannya: kerajaan mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di semua sekolah di negara itu.
Langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini bukan sahaja meredakan kontroversi penggunaan Bahasa Melayu di sekolah tetapi juga membuka jalan yang lebih jelas bagi pemegang UEC yang selama ini berdepan laluan sukar ke UA.
“Justeru jalur mereka (pelajar) untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada dari sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau UEC, tidak lagi menjadi kontroversi.
“Kita terima baik (permohonan kemasukan) asalkan syarat ini (wajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah) diterima,” kata Datuk Anwar ketika Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya pada 20 Januari.
Sebelum ini, isu pengiktirafan UEC, yang tidak menepati aspirasi pendidikan nasional dan tidak dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan, menjadi polemik tidak berkesudahan di Malaysia.
Dong Zong, badan yang mewakili sekolah menengah persendirian Cina dan telah melaksanakan UEC sejak 1975, sering mendesak kerajaan agar sijil itu diiktiraf untuk kemasukan ke UA. Tuntutan ini telah membangkitkan pelbagai reaksi politik dan perdebatan sensitif antara kaum.
Malah, pengiktirafan UEC turut menjadi agenda politik Parti Tindakan Demokratik (DAP), dengan beberapa pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan menyokong usaha tersebut.
Sementara itu, parti Melayu/Islam seperti Umno pula menolak keras gesaan pengiktirafan UEC.
Pengumuman Datuk Anwar mengenai kewajipan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ini muncul sehari selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 19 Januari, mengingatkan bahawa sistem pendidikan negara mesti mengutamakan Bahasa Melayu.
“Sebarang perubahan atau pembaharuan dalam sistem pendidikan Malaysia, mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama,” kata Sultan Ibrahim dalam ucapan perasmian pembukaan sidang Parlimen Malaysia.
Datuk Anwar dalam satu kenyataan pada 11 Disember 2025, dilapor menegaskan sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara.
Malaysiakini melaporkan, Pengerusi Dong Zong, Encik Tan Yew Sing, menyambut baik langkah ‘pembukaan pintu bersyarat’ bagi pelajar UEC itu.
“Perdana Menteri telah membuka pintu tersebut, sudah tentu terdapat syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya sambil menegaskan Dong Zong tidak menentang syarat yang dicadangkan Datuk Anwar memandangkan ia selaras piawaian sama yang dikenakan terhadap calon dari sekolah menengah kerajaan yang lain.

