Topic followed successfully
Go to BHkuKes bot pendatang asing Indonesia karam di Pulau Pangkor: 11 maut, 3 hilang
Kes bot pendatang asing Indonesia karam di Pulau Pangkor: 11 maut, 3 hilang
Kes bot pendatang asing Indonesia karam di Pulau Pangkor: 11 maut, 3 hilang
IPOH (Perak): Seramai 11 daripada 37 mangsa kejadian bot karam di Pulau Pangkor, Perak, pada 11 Mei lalu, ditemui maut setakat ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, dalam kenyataan pada 15 Mei, memberi maklumat terkini mengenai mayat seorang lelaki yang ditemui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 9.27 pagi 15 Mei.
Ia ditemui di kedudukan 5.6 batu nautika dari tempat bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin dari Indonesia itu karam.
"Mayat berkenaan ditemui oleh aset TLDM (FCB 1001) dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh pada 10.20 pagi tadi (15 Mei)," berdasarkan kenyataan itu, lapor Harian Metro.
Terdahulu, APMM memaklumkan operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelima diteruskan, bermula 7 pagi pada 15 Mei, dengan radius keluasan kawasan keseluruhan pencarian sekitar 215.14 batu nautika persegi dari tempat kejadian.
Operasi SAR itu turut membabitkan tujuh aset, iaitu kapal APMM; TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM), tertumpu bagi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 migran warga Indonesia, dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia.
Daripada 37 mangsa, 23 daripada mereka berjaya diselamatkan nelayan dan pihak berkuasa pada 11 Mei lalu.
Mereka yang diselamatkan kemudian dibawa PPM ke jeti Polis Marin Kampung Acheh untuk urusan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Menurut APMM, siasatan awal mendapati seramai 37 individu dipercayai berada di atas bot berkenaan ketika ia karam.
Pasukan penyelamat dilaporkan turut menemui tiga beg berisi pakaian, yang dipercayai milik mangsa di kawasan pencarian.
“Semua mangsa yang diselamatkan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia, pada 9 Mei lalu, dan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” kata Pengarah Maritim Perak, Kapten Mohamad Shukri Khotob, pada 11 Mei.
