Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes buli pelajar Sabah: Guru sebar maklumat pelajar dimasukkan dalam mesin basuh didakwa

Aug 21, 2025 | 1:24 PM
kes buli, pelajar Sabah, maut, Zara Qairina
Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun. - Foto fail

SEPANG (Selangor): Guru Bahasa Inggeris yang menyebarkan maklumat yang mendakwa pelajar di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, dibuli hingga dimasukkan ke dalam mesin basuh telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, pada 20 Ogos.

Dalam masa sama, pengendali akaun Facebook atas nama ‘Sabahan News Online’ membuat permohonan maaf selepas mengaitkan nama seorang menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam tragedi itu.

Dalam kes di Mahkamah Majistret itu, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan menimbulkan kegentaran awam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut tuduhan, wanita itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun Tiktok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada 1.20 petang, 6 Ogos lalu, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan Allahyarhamha Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Kematiannya dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah terbabit.

Sementara itu, pengendali akaun Facebook ‘Sabahan News Online’ memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, kerana mengaitkan beliau dengan kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina.

Permohonan maaf itu dibuat selepas pengendali akaun Facebook itu telah memperoleh bukti sebenar bahawa pemimpin itu mahupun ahli keluarganya tiada kaitan dalam kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina.

Dalam satu hantaran Facebook pada 20 Ogos, pengendali akaun itu berkata pihaknya menarik balik segala kenyataan yang mengaitkan nama Datuk Mohd Arifin, yang dikatakan menjadi mangsa salah faham.

“Dengan ini, segala usaha dan cubaan untuk mengaitkan TYT (merujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman) dan sebagainya adalah satu penyesatan dan ia amatlah dikesali.

“Semoga hantaran ini dapat meredakan segala kekusutan dan kemarahan warganet,” katanya di Facebook.

Sebelum ini kecoh di media sosial dakwaan kononnya anak perempuan Datuk Mohd Ariffin, yang juga menantu kepada Tun Musa, terlibat dalam dakwaan kes buli sebelum kematian Zara Qairina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg