TAWAU (Sabah): Mahkamah Tinggi Tawau, Sabah, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Sabah, berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17 tahun, pada Mac 2024.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman pada 28 Ogos turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjarakan selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 17 hingga 20 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah atas kesalahan membunuh, lapor Berita Harian Malaysia.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, di bilik asrama kolej berkenaan pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui meninggal dunia selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di kolej berkenaan .
Kejadian disyaki berpunca daripada perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Pada 27 November 2024, Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, mengesahkan punca kematian Mohamad Nazmie Aizzat disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul.
Allahyarham ditemui meninggal dunia pada 21 Mac 2024 dalam keadaan terbaring dengan 107 kesan kecederaan serta lebam di hampir keseluruhan bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.
Sebelum ini, media Malaysia pernah melaporkan kes seumpamanya, membabitkan kematian seorang Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada 2017 yang meninggal dunia akibat didera kerana dituduh mencuri komputer riba.
Kejadian itu menyebabkan enam bekas pelajar yang terlibat dihukum penjara 18 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman gantung sampai mati kerana menyebabkan kematian Zulfarhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg