KUALA LUMPUR: Kes demam selesema, atau influenza (flu), berlaku sepanjang tahun di Malaysia.
Namun, sejak 2022, ia lebih banyak dikesan pada Januari dan Julai.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua bulan berkenaan dilaporkan mencatat kadar positif tertinggi bagi sampel demam selesema yang diuji di Malaysia sepanjang tiga tahun lalu.
Pakar Virologi di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM), Dr Jasmine Elanie Khairat, berkata kes flu selalunya memuncak pada Januari bagi kawasan beriklim sederhana di hemisfera utara dan pada Julai bagi kawasan di hemisfera selatan.
“Dalam iklim tropika seperti Malaysia, walaupun terdapat beberapa waktu puncak, influenza boleh merebak dengan lebih konsisten sepanjang tahun.
“Tetapi corak hujan dan kelembapan cuaca juga boleh mempengaruhi masa berlakunya lonjakan kes influenza,” kata Dr Jasmine, lapor The Star.
Pakar Epidemiologi dari UM, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, pula berkata walaupun negara iklim tropika seperti Malaysia mungkin mengalami peningkatan demam selesema pada bulan tertentu, ia kurang ketara kerana tiada musim sejuk yang jelas di Malaysia.
Beliau berkata di negara beriklim sederhana, demam selesema cenderung berlaku pada bulan yang cuacanya lebih sejuk.
“Pada bulan lebih sejuk, orang ramai cenderung berkumpul di dalam rumah, suhu dan kelembapan lebih rendah dan kemungkinan terdapat beberapa perubahan dalam penularan virus itu sendiri.
“Faktor ini cenderung memihak kepada kelangsungan hidup dan penularan virus yang membawa kepada kemuncak pada bulan-bulan lebih sejuk itu,” jelasnya.
Awal dari ini, dilaporkan bahawa permintaan vaksin demam selesema di Malaysia meningkat berikutan berita kematian pelakon terkenal Taiwan, Barbie Hsu, 48 tahun, akibat radang paru-paru selepas beliau dijangkiti penyakit itu ketika bercuti di Jepun.
Pada 10 Februari, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengumumkan peluasan Program Imunisasi Influenza, yang merangkumi bukan petugas kesihatan barisan hadapan sahaja, bahkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik.
Program vaksinasi influenza percuma dan sukarela itu bermula pada 18 Februari dan akan membawa manfaat kepada lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.
Pada masa ini, terdapat dua jenis virus influenza di Malaysia, iaitu Influenza A dan Influenza B.
Sehingga 27 Januari, Influenza A membentuk 71.8 peratus daripada sampel influenza positif di Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg