KUALA LUMPUR: Bermula 18 Februari, semua warga emas di Malaysia iaitu mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas akan mendapat vaksin influenza secara percuma.
Ia adalah pengembangan skop Program Imunisasi Influenza sedia ada sejak 2006, yang menyasarkan petugas kesihatan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program vaksinasi secara sukarela itu adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi di Malaysia.
Peluasan program imunisasi itu bertujuan melindungi lebih ramai penduduk berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian.
Dalam masa yang sama, semua bakal haji Malaysia diwajib menerima suntikan vaksin Meningococcal, manakala vaksin Covid-19 dan influenza pula diwajibkan kepada kumpulan sasar.
KKM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Tabung Haji (TH) menyatakan keperluan vaksin Covid-19 dan influenza adalah kepada bakal haji berusia 65 tahun dan ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan.
“Bagi pelaksanaan vaksinasi Covid-19, bakal haji yang terlibat boleh mendapatkan suntikan vaksin secara percuma di 247 pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh Malaysia mengikut janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web rasmi TH.
“Selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan yang diumumkan KKM baru-baru ini pula, bakal haji warga Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di kemudahan kesihatan kerajaan terpilih,” jelas KKM, lapor Berita Harian Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata bakal haji juga digalak mendapatkan suntikan vaksin Pneumococcal bagi perlindungan terhadap penyakit jangkitan pernafasan.
Malaysia dianggarkan menghantar kira-kira 32,000 bakal jemaah haji bagi 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg