Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes penuntut dipukul rakan universiti, tiga pelajar UiTM pula ditahan

Dec 20, 2024 | 3:00 PM
Kampus Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak.
Kampus Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak. - Foto UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

PARIT (Perak): Belum pun selesai kes seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendakwa dipukul 12 rakannya di kolej kediaman pada 15 Disember, satu lagi kes ganas berlaku.

Kali ini, ia melibatkan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Mangsa lelaki berusia 18 tahun itu cedera dipercayai akibat dipukul tiga rakannya di asrama, juga pada 15 Disember.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah, berkata akibat kejadian itu, penuntut lelaki terbabit mengalami kecederaan pada muka, tangan dan perut.

Beliau sudah mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

Menurut ketua polis, susulan kejadian itu, pihaknya bertindak menahan tiga penuntut lelaki berusia 18 hingga 20 tahun, selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 6.45 petang, pada 17 Disember.

“Semua suspek direman selama tiga hari dan dibebaskan hari ini (20 Disember) dengan ikat jamin.

“Berdasarkan siasatan, motif kejadian pukul berlaku kerana perselisihan faham dan provokasi antara mangsa dengan suspek di dalam bilik asrama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, lapor portal, Buletin TV3.

Media Malaysia pada 18 Disember melaporkan 12 pelajar UMT ditahan selepas disyaki memukul seorang pelajar lain secara bergilir-gilir di kolej kediaman universiti itu pada 15 Disember.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata hasil siasatan polis mendapati ia dipercayai melibatkan kejadian saling tuduh-menuduh yang merupakan antara punca mangsa dipukul secara bergilir-gilir oleh 12 pelajar itu.

Datuk Mohd Khairi bagaimanapun tidak menjelaskan isu yang mencetuskan kejadian di kolej kediaman mangsa yang berusia 20 tahun itu.

Terdahulu pada 22 November, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan rakan pelatih junior dengan memijak perut memakai kasut but.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Adil Mat Awang Ghani, mengaku tidak bersalah mencederakan Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi.

Kes pukul dan buli melibatkan pelajar universiti di Malaysia terutama UPNM turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menitahkan supaya budaya penderaan di universiti perlu dihentikan serta-merta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg