KUALA LUMPUR: Bukan RM100,000, tetapi dianggarkan RM2.1 juta ($640,000) jumlah kerugian dialami mangsa dalam kes tipu umrah melibatkan sebuah syarikat pelancongan kontroversi di Sepang, Selangor, dengan jumlah mangsa terlibat seramai 379 orang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis setakat ini sudah menahan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan yang tular itu, bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah.
“Polis sudah mendapat perintah reman terhadap pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat agensi pelancongan terbabit dan enam lagi individu sehingga 18 Januari untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada 16 Januari selepas pihak polis menerima laporan mengenai kes penipuan umrah itu,” katanya lapor Harian Metro.
Media Malaysia pada 16 Januari melaporkan polis menahan pasangan suami isteri pemilik syarikat agensi pelancongan selepas disyaki melakukan penipuan pakej umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000 ($30,400).
Lebih 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila tarikh dijanjikan kepada mereka untuk diterbangkan ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu dengan pelbagai alasan.
Datuk Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.
Sementara itu, penerbit dan pengarah drama terkenal Malaysia Michael Ang mendedahkan bahawa beliau hampir menjadi mangsa penipuan umrah yang melibatkan syarikat agensi pelancongan yang tular itu.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Michael berkongsi pengalaman lucu namun berbahaya yang mana beliau ditawarkan pakej VVIP untuk menunaikan umrah oleh syarikat terbabit yang kini sedang disiasat kerana dakwaan penipuan.
Menurut Michael, tawaran tersebut datang melalui mesej di Instagram dan TikTok. Agensi itu menawarkan untuk menaja beliau dengan pakej VVIP dan meminta beliau membuat video di Makkah serta mengikuti kursus umrah di pejabat mereka.
“Yang lebih menarik lagi, mereka menawarkan bayaran tunai dan ajakan untuk bertemu muka bagi perbincangan lanjut,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg