Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketagihan ‘vape’ dalam kalangan pelajar di JB membimbangkan

Aug 7, 2024 | 3:40 PM
Semakin ramai kumpulan pelajar sekolah di Johor Bahru dikhuatiri ketagih rokok elektronik atau ‘vape’ mengandungi ‘cendawan ajaib’ atau ‘magic mushroom’ yang kian mudah didapati di pasaran.
Semakin ramai kumpulan pelajar sekolah di Johor Bahru dikhuatiri ketagih rokok elektronik atau ‘vape’ mengandungi ‘cendawan ajaib’ atau ‘magic mushroom’ yang kian mudah didapati di pasaran. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Semakin ramai kumpulan pelajar sekolah di Johor Bahru dikhuatiri ketagih rokok elektronik (vape) yang mengandungi ‘cendawan ajaib’ atau magic mushroom yang kian mudah didapati.

Magic Mushroom adalah sejenis ‘vape’ berperisa mushroom ataupun ganja, yang mana pengambilan bahan ini boleh menyebabkan individu itu berhalusinasi, berasa seronok yang melampau dan tidak sedarkan diri sepenuhnya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Johor Bahru, Encik Habib Syed Sallilah Aasad, berkata apa yang membimbangkan, kini wujud sekumpulan penjual yang menyasarkan jualan magic mushroom dalam kalangan remaja.

Seorang remaja lelaki yang berkongsi cerita ketagihannya dengan magic mushroom mendakwa terjebak kerana terpengaruh dengan rakan sebaya.

Malah remaja lelaki itu yang berusia 16 tahun berasal daripada keluarga asnaf (penerima zakat) juga mengaku membelanjakan RM5 ($1.50) hingga RM10 setiap kali mendapatkan sedutan magic mushroom.

“Remaja itu mendakwa membayar RM5 bagi lima sedutan, manakala RM10 bagi 10 kali sedutan dan kebiasaannya dilakukan di kawasan terbuka termasuk di kedai mahupun di taman permainan kanak-kanak.

“Mereka berani kerana pada pandangan orang lain, mereka hanya menghisap vape.

“Saya pernah mengejar seorang lelaki dewasa yang menagih magic mushroom dan lelaki itu agak agresif dan hampir merempuh saya.

“Difahamkan vape mengandungi magic mushroom atau shroom ini mengandungi bahan aktif psilocybin, iaitu sejenis bahan aktif halusinogen yang sangat kuat.

“Kebelakangan ini ada saja golongan muda dimasukkan ke hospital akibat penggunaan vape magic mushroom dan keadaan ini amat berbahaya,” kata Encik Habib, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me’didik), Encik Mohd Ridhwan Othman, berkata Johor merupakan negeri terawal melarang dan tidak membenarkan penjualan rokok elektronik dan ‘vape’ berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Ia susulan titah Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, namun kini ia bebas dijual.

“Perlu ada penguatkuasaan yang lebih telus selain akta berkaitan yang melarang penggunaan vape. Kita terkebelakang dalam usaha menangani masalah vape seolah-olah ia bukan ancaman pada negara.

“Malah kerajaan negeri juga seharusnya membuat pendedahan berkaitan penularan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan kes direkodkan menerima rawatan di hospital supaya ia boleh memupuk kesedaran ramai,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan menerima 17 kes penyakit paru-paru berpunca daripada rokok elektronik termasuk vape sehingga Jun 2023.

Pada masa sama, 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dari 2015 hingga Ogos 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg