ISKANDAR PUTERI (Johor): Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyeru rakyat Johor agar terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri pimpinan, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kemakmuran negeri itu.

Dr Wee berkata prestasi pentadbiran Johor sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membuktikan kemampuan kerajaan negeri itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan asing.

Menurut beliau, kadar pertumbuhan ekonomi Johor mengatasi purata nasional apabila negeri itu mencatat pertumbuhan sekitar 6.4 peratus berbanding kadar pertumbuhan negara yang berada pada sekitar 5.1 hingga 5.2 peratus.

“Ini bukan angka yang kecil. Ia hasil kerja keras dan komitmen kepimpinan negeri yang sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat serta memastikan pembangunan Johor terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, pada 7 Jun, lapor MalaysiaGazette.

Dr Wee turut memuji usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang berjaya menjadikan negeri itu destinasi utama pelaburan asing secara langsung (FDI) di Malaysia.

Jelasnya, Johor yang berada di kedudukan keempat dari segi FDI pada 2022, kini muncul sebagai negeri ‘Nombor Satu’ dalam menarik pelaburan asing selama beberapa tahun berturut-turut.

“Dalam tempoh empat tahun, Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM272 bilion ($86 bilion) dengan RM110 bilion direkodkan pada 2025 sahaja.

“Ini merupakan pencapaian yang amat luar biasa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, kejayaan Johor bukan semata-mata disebabkan kedudukannya yang berhampiran Singapura, sebaliknya hasil perancangan strategik dan kepimpinan berkesan.

Dalam masa yang sama, Dr Wee berkata kerajaan negeri juga berjaya melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum, termasuk masyarakat Melayu, Cina, India serta Orang Asli.

“Perhatian yang diberikan terhadap golongan warga emas, suri rumah, petani serta sektor pendidikan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana BN mentadbir sebuah negeri secara terangkum dan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Wee menggesa seluruh jentera BN dan parti komponen agar terus memperkukuh kerjasama serta merapatkan saf bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita mahu menang dengan majoriti yang lebih besar. Dengan semangat dan kesatuan yang ditunjukkan hari ini, saya yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan Johor,” ujarnya.