Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, bermula 14 Januari, tiba ketika parti itu berusaha memulihkan sokongan akar umbi dalam landskap politik yang mencabar, dengan tumpuan dijangka terarah kepada hala tuju dan kedudukan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Lebih 6,400 perwakilan Umno daripada 191 bahagian seluruh Malaysia akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, sehingga 17 Januari.
Menjelang PAU 2025, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 13 Januari menarik perhatian dengan memaklumkan pembentukan sebuah organisasi di luar lingkungan politik.
Ia akan diumumkan secara rasmi pada hari terakhir PAU 2025, 17 Januari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan organisasi itu telah mendapat kelulusan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, PAU yang ditangguhkan dari November 2025 kerana Pilihan Raya Negeri Sabah, menjadi medan kritikal buat Umno menilai prestasi, dasar, dan langkah strategik bagi memastikan kelangsungan perjuangan.
Menariknya, tiada satu pun daripada 662 usul yang diterima daripada 175 bahagian Umno menggesa parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan, meskipun ada desakan lantang sebelum ini.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan 104 bahagian Umno memohon pengampunan penuh bagi bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak.
Namun begitu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga Zamil Penyelidikan Ilham Centre, Encik Mujibu Abdul Muis, meramalkan kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan tetap akan menjadi topik hangat dalam perbahasan, walaupun tanpa usul rasmi.
Desakan Pemuda Umno pada 3 Januari lalu agar parti itu keluar daripada kerajaan, dan menghidupkan semula kerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menerusi Muafakat Nasional (MN), menjadikan isu tersebut sukar untuk dielak dalam perbahasan perwakilan.
“Walaupun pimpinan tertinggi mungkin tidak mahu isu ini diusulkan secara rasmi, saya yakin ia tetap akan dibangkitkan kerana akar umbi Umno menuntut satu pendirian jelas hala tuju politik Umno sebelum PRU16 yang dijangka sebelum 2028,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Namun, Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum ini menegaskan Umno akan kekal dalam kerajaan gabungan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Anwar, sehingga tamat penggal.
Encik Mujibu turut menjangkakan perbahasan kedudukan parti akan dipengaruhi oleh prestasi Umno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada akhir November 2025, apabila Umno hanya memenangi lima daripada 14 kerusi yang ditandingi.
Satu lagi kerusi dimenangi oleh parti komponennya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Walaupun konteks politik Sabah berbeza dengan Semenanjung, Umno pernah menganggap Sabah sebagai deposit tetap. Kejatuhan sokongan ini tetap memberi kesan kepada moral dan perbincangan dalaman parti,” katanya.
Perhatian juga akan tertumpu kepada status Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh merangkap Exco Melaka, yang akan mengumumkan kedudukannya di dalam parti dan kerajaan, selepas beliau lantang mendesak Umno agar meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Tuntutan itu kian kuat terutama selepas penghinaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) terhadap maruah Umno dalam isu kes mahkamah Encik Najib.
Bagaimanapun, penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, tidak menjangka Datuk Dr Akmal akan meletakkan jawatan seperti yang pernah disebut sebelum ini.
Beliau berpendapat demikian kerana kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka itu bahawa sebarang keputusan mengenai kedudukannya akan dirujuk kepada Presiden Umno dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, selain hakikat beliau turut memegang jawatan Ketua Pemuda BN.
Profesor Dr Azmi turut meramalkan PAU kali ini akan menjadi pentas untuk Umno memuktamadkan hala tuju kepimpinan, menjelang pemilihan parti yang dijangka Mac depan.
“Seperti pola sebelum ini, jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden berkemungkinan besar tidak akan dipertandingkan, manakala jawatan lain dijangka dibuka kepada pertandingan.
“Justeru PAU 2025 dijangka memuktamadkan kepimpinan nombor satu dan dua dalam Umno seperti sebelum ini,” katanya kepada BH.
PAU 2025 akan bermula dengan perasmian serentak sayap Umno pada 8 malam 14 Januari oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum kemuncak pada pagi 16 Januari bagi perwakilan mendengar Ucapan Dasar Presiden oleh Datuk Ahmad Zahid.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg