Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno diingat manfaat baki 22 bulan sebelum pilihan raya, perkemas strategi komunikasi digital

Jan 14, 2026 | 5:30 PM
Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada 14 Januari. 
Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada 14 Januari.  - Foto BERNAMA

Dengan baki maksimum 22 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Umno diingatkan supaya lebih agresif dalam mempertahankan parti dan menyerang lawan politik, khususnya di medan komunikasi digital, bagi memastikan kelangsungan parti dalam landskap politik semasa.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masa semakin suntuk buat parti itu, sekali gus menuntut perubahan segera dalam cara Umno berkomunikasi dan berdepan serangan politik lawan, terutama dalam mempertahankan peranan Umno sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Satu penggal bersamaan 60 bulan atau lima tahun. Kita telah berjalan 38 bulan, tinggal 22 bulan. 22 bulan, inilah barisan hadapan yang boleh mempertahankan Umno, yang boleh menyerang seteru politik kita,” katanya dalam ucapan di hadapan ratusan perwakilan ketika merasmikan Simposium Politik Era Digital 2026.

Simposium anjuran Penerangan Umno itu diadakan sebagai pembuka tirai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 selama empat hari bermula 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Datuk Ahmad Zahid berkata Umno perlu keluar daripada kepompong lama dengan menyesuaikan pendekatan politik dan komunikasi kepada realiti baru, khususnya dalam penggunaan media digital dan media sosial.

Menurutnya, pendekatan tradisional masih relevan, namun perlu digabungkan dengan kaedah baru yang lebih pantas dan meluas kesannya, termasuk siaran langsung dan platform interaktif.

“Kalau saya bercakap di hadapan 500 orang, kesannya mungkin terhad. Tetapi melalui media dan siaran langsung, penyebarannya boleh melebihi angka itu,” katanya, sambil merujuk kepada potensi jaringan kepada lebih 21,000 ketua penerangan cawangan Umno yang boleh dihubungkan melalui medium digital.

Beliau turut menekankan realiti bahawa 97 peratus rakyat Malaysia memiliki telefon, menjadikan algoritma dan ketularan kandungan di platform media digital sebagai faktor kritikal dalam membentuk persepsi politik semasa.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyentuh kelemahan kerajaan dalam memasarkan pencapaian dasar, walaupun ratusan inisiatif telah dilaksanakan sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Beliau mengaitkan kelemahan itu dengan pembentangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), baru-baru ini bahawa sebanyak 733 inisiatif baru telah diperkenalkan dalam tempoh 38 bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir.

Namun katanya tidak semua berjaya diterjemahkan kepada sokongan awam kerana kelemahan dalam naratif dan sudut penyampaian.

“Siapa yang bercakap secara positif tentang Kerajaan Madani? Ada, tetapi tidak banyak. Virality (ketularan) kurang.

“Sebaliknya, kumpulan anti-establishment (antipemerintah) makin bertambah.. sebab apa? Sebab pembangkang lebih bijak atau mengatasi apa yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata kaedah paling berkesan untuk mempertahankan diri adalah dengan menyerang.

“Masalahnya kita tak menyerang, apabila diserang pun tak bertahan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg