PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia melancarkan pakej diskaun besar-besaran pengangkutan awam rel bagi mengurangkan beban kos perjalanan rakyat berikutan kenaikan harga bahan api akibat krisis di Timur Tengah yang semakin berlarutan.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan awam, sekali gus mengekang peningkatan kos sara hidup.

“Kita sedia maklum bahawa krisis Timur Tengah yang melanda ini telah mengakibatkan kenaikan kos bahan api yang ketara dan perkara ini turut memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, terutama daripada segi kos pengangkutan.

“Inisiatif ini juga bagi menggalakkan lebih banyak rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel berikutan kenaikan kos bahan api,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada 14 April, lapor MalaysiaGazette.

Antara langkah utama yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan ialah diskaun 30 peratus bagi tiket tren elektrik (ETS) semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral bagi perjalanan Isnin hingga Khamis.

Tiket boleh dibeli menggunakan kod promosi mulai 15 hingga 30 April bagi tempoh perjalanan sehingga 14 Oktober.

“Inisiatif ini ditawarkan bagi perjalanan pada setiap Isnin hingga Khamis sebagai sebahagian usaha berterusan Kerajaan Madani melalui Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memperkasa penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan berkesan kepada rakyat,” kata Encik Anthony.

Selain itu, dua pas bulanan Express Rail Link (ERL) diperkenalkan iaitu Kad Perjalanan Bulanan MyPutrajaya dan Kad Perjalanan Bulanan MyKLIA yang menawarkan perjalanan tanpa had dengan diskaun sehingga 90 peratus berbanding kadar biasa.

Kerajaan turut meneruskan Pas My50 pada harga RM50, potongan 67 peratus daripada nilai sebenar RM150 untuk penggunaan tanpa had rel dan bas selama 30 hari di Lembah Klang.

Setakat ini, 40 peratus pengguna pengangkutan awam telah memanfaatkan pas tersebut.

Dalam sektor udara, kerajaan melaksanakan langkah campur tangan bagi mengurangkan tekanan kewangan industri penerbangan susuli pembatalan mendadak penerbangan antarabangsa, khususnya ke Timur Tengah yang mencapai tahap genting apabila kira-kira 75 peratus jadual harian dibatalkan pada 1 Mac lalu.

“Sekiranya keadaan ini berlarutan, ia boleh mengurangkan keyakinan pelancong luar dan mengakibatkan jumlah kerugian keluaran ekonomi dari RM15 bilion sehingga mencecah RM150 bilion sepanjang 2026,” katanya.

Encik Loke turut memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melanjutkan tempoh kredit bayaran dan caj sehingga 60 hari serta memberi rebat tiket RM50 bagi laluan Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan yang dijangka memanfaatkan 100,000 penumpang bermula 15 Mei hingga 14 Jun ini.