Topic followed successfully
Go to BHkuKrisis adat N. Sembilan meruncing, pesara kerajaan diangkat Undang terbaru
Krisis adat N. Sembilan meruncing, pesara kerajaan diangkat Undang terbaru
Krisis adat N. Sembilan meruncing, pesara kerajaan diangkat Undang terbaru
SEREMBAN: Krisis adat dan Perlembagaan di Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila seorang pesara kerajaan dimasyhurkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11, hanya selepas beberapa hari seorang akauntan muda diumumkan sebagai pengganti Undang terdahulu yang telah dilucutkan jawatannya.
Upacara pemasyhuran Encik Abd Rahman Limat, 70 tahun, sebagai penyandang Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-11, telah berlangsung dalam majlis istiadat penuh adat di Telapak Tua Kampung Chedang, Rasah, Seremban, Negeri Sembilan, pada 10 Mei.
Kontroversi tercetus kerana pelantikan akauntan, Encik Muhammad Faris Johari, 29 tahun, yang diumumkan lebih awal sebagai Undang Luak Sungai Ujong (pembesar adat dan ketua daerah) menggantikan Datuk Mubarak Dohak, didakwa batal dan menyalahi aturan adat Luak Sungai Ujong.
Pemasyhuran Encik Abd Rahman, bapa kepada enam cahaya mata, dikatakan mendapat perkenan penuh daripada Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu – golongan yang berautoriti dalam adat.
Difahamkan, Encik Abd Rahman yang berpendidikan Sijil Rendah Pelajaran berasal daripada Suku Biduanda Waris Klana dan memegang jawatan Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungai Ujong.
Beliau dikatakan pernah menghantar nama sebagai calon Undang Luak Sungai Ujong pada 13 November 2004, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum kemelut ini, Datuk Mubarak dilaporkan telah dipecat daripada jawatannya, satu langkah yang disahkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan menerusi kenyataan media
Namun, dalam tindakan yang mencabar autoriti, beliau bersama tiga Undang Luak lain bertindak mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta pada 19 April lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam kenyataannya pada 20 April lalu menjelaskan tindakan Datuk Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Beliau menegaskan, Datuk Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Pada 22 April lalu, dilaporkan Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu melantik Encik Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungai Ujong baru, yang dikatakan dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang.
Pemilihan itu didakwa mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-Undang Sungai Ujong.
Bagaimanapun, kenyataan media oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong kemudiannya memaklumkan pelantikan Undang Luak Sungai Ujong perlu persetujuan sebulat suara semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir.
Selain itu, ia juga perlu mendapat persetujuan sebulat suara kesemua Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong.

