Topic followed successfully
Go to BHkuKrisis diraja Negeri Sembilan: Undang heret kerajaan negeri ke mahkamah, tuntut dedah minit mesyuarat
Krisis diraja Negeri Sembilan: Undang heret kerajaan negeri ke mahkamah, tuntut dedah minit mesyuarat
Turut syor penyingkiran Menteri Besar Negeri Sembilan daripada jawatan
Krisis diraja Negeri Sembilan: Undang heret kerajaan negeri ke mahkamah, tuntut dedah minit mesyuarat
KUALA LUMPUR: Pertikaian takhta diraja yang berlarutan di Negeri Sembilan kini memasuki fasa perundangan apabila empat Undang (pembesar adat atau ketua daerah) mengheret kerajaan negeri ke mahkamah.
Para pembesar berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan, pada 5 Mei, bagi memohon perintah supaya kerajaan negeri serta Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mendedahkan minit mesyuarat bertarikh 17 April.
Menurut dokumen undang-undang berkenaan, permohonan itu berkait dengan sidang khas DKU, yang didakwa telah mencapai keputusan sebulat suara untuk meluluskan pemecatan Undang Luak (daerah) Sungai Ujong, Datuk Thahak.
Selain Datuk Mubarak, plaintif terdiri daripada Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Datuk Muhammad Abdullah (Johol); Datuk Abdul Rahim Yassin (Rembau); bersama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Dalam permohonan mereka, keenam-enam plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan sebagai anggota DKU itu, mereka berhak mendapatkan salinan minit mesyuarat tersebut, lapor laman web, Malaysiakini.
Mereka turut memohon mahkamah mengarahkan defendan menyerahkan minit sidang khas itu dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, mereka memohon mahkamah mengeluarkan “perintah untuk menggantung pelaksanaan sebarang tindakan penguatkuasaan oleh defendan berkaitan keputusan sidang khas tersebut”.
Para pembesar adat itu menamakan kerajaan Negeri Sembilan, DKU serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, sebagai defendan.
Menurut dokumen itu, kes berkenaan dijadual didengar pada 13 Mei.
Sidang DKU pada 17 April itu menjadi titik penting dalam pertikaian takhta yang sedang berlangsung, yang menyaksikan tindakan balas pembesar berkenaan memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkembangan itu berlaku menyusuli penafian empat Undang terbabit dan Tunku Syed Razman terhadap dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bahawa majlis tersebut mengesyorkan pemecatan Datuk Mubarak sebagai Undang Sungai Ujong, dengan alasan 33 pelanggaran adat.
Mereka turut menyifatkan Datuk Aminuddin sebagai ‘pembohong’ dan menggesa anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan supaya menyingkirkan beliau daripada jawatan Menteri Besar.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan pemimpin tradisional daripada keturunan Klana Hulu mengumumkan mereka sebulat suara melantik, Encik Muhammad Faris Johari, sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baharu bagi wilayah itu.
Ini berlaku ketika Datuk Mubarak dan penyokongnya – termasuk tiga Undang lain – terus menegaskan beliau masih Undang Sungai Ujong yang sah.
Menurut kenyataan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong pada 5 Mei, keputusan itu dibuat “mengikut undang-undang teradat”, iaitu merujuk kepada ‘berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba (beradat)”, pada 22 April lalu.
