Topic followed successfully
Go to BHkuMenteri Besar N. Sembilan minta rakyat siap hadapi pilihan raya mengejut
Menteri Besar N. Sembilan minta rakyat siap hadapi pilihan raya mengejut
Umno dijangka usul undi percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Menteri Besar N. Sembilan minta rakyat siap hadapi pilihan raya mengejut
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, memberi isyarat kepada rakyat negeri itu agar bersedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut.
Datuk Aminuddin memberi bayangan itu menyusuli tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang dilihat masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Umno-Pakatan Harapan (PH).
Malah, ketegangan politik di Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila Umno dipercayai akan membawa usul undi percaya terhadap Datuk Aminuddin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, meskipun parti itu mengekalkan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
“Saya mahu rakyat Negeri Sembilan, penduduk negeri ini bersiap sedia menghadapi PRN. Mereka (Umno) tak puas hati.
“Hari ini kenyataan demi kenyataan. Seolah-olah kita terpaksa menerima.
“Tetapi kita juga manusia, saya juga manusia, saya juga rasa tercalar,” katanya yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, ketika berucap semasa ceramah perdana PH di Seremban, Negeri Sembilan, pada malam 6 Mei, lapor Malaysiakini.
Ceramah yang turut dihadiri pemimpin komponen PH Pusat dan negeri diadakan menyusuli krisis kepimpinan dan politik di Negeri Sembilan yang setakat ini berakhir dengan komitmen baru, antara kepimpinan Pusat PH dengan Umno/Barisan Nasional (BN) untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Dalam reaksi daripada keputusan pimpinan Pusat PH-Umno itu, Umno Negeri Sembilan pada 6 Mei menegaskan akan terus menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan, namun, pada masa sama mengisytiharkan hilang percaya terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor, berkata ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan rakyat serta mengutamakan kepentingan negeri.
“(Namun) kami kekal hilang percaya kepada Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini, sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Mei.
Sementara itu, menjelaskan lanjut mengenai usul undi percaya terhadap Menteri Besar, sumber dalaman yang mempunyai pengetahuan mengenai mesyuarat antara Umno dengan PH pada 6 Mei, mendedahkan bahawa pendirian tegas Umno adalah untuk tidak menarik diri daripada Kerajaan Negeri, namun, tekanan untuk menukar kepimpinan Menteri Besar tetap diteruskan.
“Ada kemungkinan Adun Umno akan bawa usul undi percaya terhadap Datuk Aminuddin. Ini akan jadi detik penentu,” tambah sumber itu.
Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno secara bersama menarik sokongan terhadap Datuk Aminuddin.
Langkah itu diikuti dengan kenyataan lima Adun PN yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan baru.
Bagaimanapun, Datuk Aminuddin telah diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, agar terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga ada ‘kejelasan muktamad’.
Terdahulu, pimpinan PH dan Umno Pusat mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, menyusuli kemelut politik Umno-PH di negeri itu.
Namun, sumber dalaman menegaskan bahawa kenyataan bersama itu tidak menamatkan secara langsung krisis kepimpinan di peringkat negeri.

