Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) tercetus daripada kemelut politik di Perlis, apabila peralihan kuasa jawatan Menteri Besar daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berlaku tanpa kata sepakat antara parti komponen.
Malah, episod yang disifatkan PAS sebagai ‘tikam belakang’ itu bukan saja menimbulkan pertikaman lidah antara dua tonggak utama PN itu, bahkan mencetus kesan berantai yang menggoncang struktur kepimpinan pakatan pembangkang, sehingga membawa kepada peletakan jawatan di peringkat pusat dan negeri.
Keadaan diburukkan dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 30 Disember bahawa wakil rakyat parti itu tidak akan menyertai barisan Exco pentadbiran kerajaan negeri yang kini dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis daripada Bersatu, Encik Abu Bakar Hamzah.
Kemuncaknya, mantan Perdana Menteri yang juga Presiden pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat pengumuman mengejutkan pada 30 Disember, untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Keputusan berat itu dibuat selepas lima tahun beliau mengemudi PN sejak 2020, didorong desakan keras pimpinan PAS yang mahukan peralihan kuasa kepimpinan pakatan pembangkang itu, selepas mendakwa Bersatu mengkhianati persahabatan dan gagal mengambil tindakan terhadap wakil rakyatnya yang ‘khianat’.
PAS juga menyifatkan tidak adil apabila hanya parti itu mengambil tindakan tegas menghentikan keanggotaan tiga Adun yang dikatakan menandatangani akuan berkanun (SD) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan mantan Menteri Besar dari PAS, Encik Mohd Shukri Ramli, sementara lima Adun Bersatu ‘terlepas’.
Pengunduran Tan Sri Muhyiddin kemudian diikuti pimpinan tertinggi lain selang beberapa jam kemudian.
Ia termasuk Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan empat Pengerusi PN negeri iaitu Datuk Seri Faizal Azumu (Perak); Datuk Shahrudin Jamal (Johor); Encik Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan), selain Pengerusi PN Selangor, Datuk Azmin.
Pengerusi PN di lapan negeri adalah daripada Bersatu iaitu Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak, Sabah, selain Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang telah meletak jawatan.
Jawatan Pengerusi PN di lima negeri lagi disandang oleh PAS iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala PN Pulau Pinang dipengerusikan parti komponen bukan Melayu, iaitu Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau.
Krisis dalaman yang berlarutan itu menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan hubungan antara dua parti Melayu terbesar dalam PN.
Bagi sebahagian pengundi, khususnya mereka yang di atas pagar, pergolakan berterusan itu boleh dilihat sebagai petanda ketidaktentuan kepimpinan serta kegagalan mengurus perbezaan kepentingan antara rakan sekutu.
Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang kian hampir, krisis itu dilihat berpotensi memberi kesan langsung terhadap kesiapsiagaan PN menghadapi persaingan politik akan datang terutama untuk berdepan blok politik diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, – Pakatan Harapan (PH) dan gabungannya dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, tanpa menafikan krisis itu menghakis kepercayaan pengundi bahawa PN pembangkang yang stabil dan tersusun, penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berpandangan sedikit berbeza dengan banyak pihak yang menganggap PN sudah hancur.
Menurut beliau PN ketika ini sedang diuji, namun masih memainkan peranan penting sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap Kerajaan Perpaduan, selain berfungsi sebagai alternatif politik kepada pengundi.
“Perlu diingat PN menguasai empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan, dan mempunyai sokongan tersendiri, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu/Muslim. Ini bukan perkara kecil dan tidak boleh dinafikan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Profesor Dr Ahmad Fauzi juga berpandangan krisis dalaman PN hari ini dilihat tidak sepenuhnya memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang mentadbir hari ini tidak dibentuk dengan dominasi satu parti majoriti, sebaliknya dengan komposisi gabungan beberapa parti sekali gus menjadikan kestabilannya turut bergantung kepada keseimbangan antara parti komponen.
Dalam konteks itu, katanya, PN perlu sentiasa bersedia sebagai pakatan pembangkang yang berfungsi sekiranya berlaku sebarang perubahan politik, termasuk kemungkinan penarikan sokongan oleh mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Contohnya dengan ancaman Umno dan DAP (Parti Tindakan Demokratik) mahu menilai semula hubungan dengan kerajaan dan kemungkinan ingin tarik diri, ini semua memerlukan PN menyediakan diri sebagai kerajaan pelapis sekiranya kejatuhan kerajaan sedia ada itu berlaku,” katanya.
Mengulas pengunduran Tan Sri Muhyiddin daripada jawatan Pengerusi PN, Profesor Dr Ahmad Fauzi, tidak melihatnya sebagai petanda awal Bersatu akan memutuskan hubungan dengan PAS.
Sebaliknya, beliau menegaskan dinamik politik semasa lebih tertumpu kepada kedudukan Umno sebagai penentu hala tuju.
Menurutnya, usaha PAS dan Umno untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang pernah dibentuk bersama sebelum ini menyusuli krisis politik di Perlis, berpotensi mengubah landskap politik semasa.
“Jika berlaku penyelarasan semula antara PAS dengan Umno dalam MN, ia boleh menjadi petanda risiko kepada kelangsungan Kerajaan Perpaduan,” katanya, yang juga Profesor Kehormat Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Dalam masa sama, Profesor Dr Ahmad Fauzi berpandangan pengunduran Tan Sri Muhyiddin juga berpotensi memberi kelegaan kepada akar umbi Bersatu.
“Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin sering dikaitkan dengan pelbagai isu, termasuk terpalit kes rasuah dan kontroversi keluarga, yang dilihat mengekang PN daripada meraih sokongan lebih menyeluruh.
“Perubahan kepimpinan ini berkemungkinan meningkatkan kebarangkalian PN menarik sokongan pengundi atas pagar,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, yakin PAS dan Bersatu akan terus kekal bersama dalam Perikatan Nasional (PN), memandangkan kedua-dua parti sukar bergerak secara bersendirian, khususnya menjelang PRU akan datang.
Menurut beliau, kekuatan PAS dan Bersatu sebelum ini banyak dipacu oleh gabungan sokongan penyokong masing-masing, yang mewujudkan rentak kemenangan seperti fenomena ‘gelombang hijau’ dalam pilihan raya lalu.
“Agak sukar untuk kedua-dua parti berjuang sendirian atau bergerak solo kerana gabungan mereka memberi kelebihan dari segi sokongan dan jentera,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohammad Tawfik menegaskan PAS dan Bersatu perlu menilai secara mendalam hala tuju kerjasama mereka, termasuk sama ada konflik yang berpunca daripada pergolakan politik di Perlis wajar dibiarkan berlarutan.
Katanya, kedua-dua parti perlu melihat kesan jangka panjang terhadap tahap sokongan, selain mempertimbangkan prinsip dan maruah politik agar perpecahan dalaman tidak merugikan penyokong menjelang PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dr Mohammad Tawfik, yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, turut mengakui cabaran besar PN dengan pengunduran Tan Sri Muhyiddin adalah untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
Namun, beliau percaya PN masih berpeluang berbuat demikian sekiranya diterajui pemimpin yang lebih mesra kepada pengundi bukan Muslim.
“PAS mempunyai kekuatan dari segi kerusi, tetapi realitinya masih wujud skeptisisme dalam kalangan pengundi bukan Melayu terhadap parti itu. Ketika ini, tokoh daripada PAS yang mempunyai daya tarikan rentas kaum masih terhad,” katanya.
Sehingga laporan ini ditulis, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, telah mengesahkan parti itu akan mengetuai PN, namun, calon Pengerusi hanya akan ditentukan dalam mesyuarat PN minggu depan.
Sebelum ini beberapa nama selain Tan Sri Abdul Hadi, turut disebut-sebut sebagai calon pengganti untuk mengisi jawatan Pengerusi PN termasuk Timbalan Pengerusi PN yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Nama lain daripada PAS yang turut diperkatakan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Timbulnya nama calon selain Tan Sri Abdul Hadi itu berikutan Ahli Parlimen Marang (Terengganu) berusia 78 tahun itu kini menghadapi cabaran kesihatan.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS, Encik Afnan Hamim Taib Azamudden, dalam hantaran di Facebook pada 2 Januari, berkata PN masih wujud dan proses pembentukan kepimpinan baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan sedang dijalankan.
“Cakap-cakap yang mengatakan PN sudah hancur, sudah hilang arah, semuanya tidak betul.
“Yang melepaskan jawatan hanya beberapa orang saja. Kepimpinan yang lain masih ada. Di peringkat pusat, negeri, bahagian dan kawasan, masih ada,” katanya.
Malah, beliau turut memaklumkan idea untuk PN bergabung bersama MN mendapat sambutan dan membayangkan kejayaan penyatuan ummah andainya gabungan itu menjadi kenyataan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg