Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kunjungan PM China ke M’sia jana potensi pelaburan RM13.2b

Jun 20, 2024 | 6:00 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang (dua dari kiri), bersetuju bahawa kededua negara adalah sahabat baik dan rakan kerjasama sejati. Encik Li dalam lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023 dan kunjungan beliau memperingati Jubli Emas hubungan diplomatik dua hala Malaysia-China sejak 50 tahun lalu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang (dua dari kiri), bersetuju bahawa kededua negara adalah sahabat baik dan rakan kerjasama sejati. Encik Li dalam lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023 dan kunjungan beliau memperingati Jubli Emas hubungan diplomatik dua hala Malaysia-China sejak 50 tahun lalu. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Lawatan bersejarah Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, ke Malaysia bagi memperingati Jubli Emas hubungan diplomatik kededua negara diperkukuhkan dengan pertukaran 11 memorandum persefahaman (MOU) antara entiti Malaysia dengan China dengan jumlah potensi pelaburan sebanyak RM13.2 bilion ($3.79 bilion).

Pertukaran MOU itu menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), mencerminkan keyakinan berterusan komuniti perniagaan China terhadap kekuatan dan kemampanan hubungan diplomatik selama 50 tahun antara Malaysia dengan China, menekankan kedudukan Malaysia sebagai salah satu rakan pelaburan dan perdagangan utama China di rantau Asia Tenggara.

Antara lain, MOU itu bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan industri, dengan fokus kepada meningkatkan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan meneroka integrasi rantaian bekalan dalam industri utama di Malaysia dan China.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan negaranya melihat hubungan dengan China bukan setakat dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.

Beliau percaya menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya.

“Kita berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan menyepadukannya ke dalam hal ehwal serantau kerana ia penting untuk masa depan kita bersama,” katanya semasa majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dengan China.

Datuk Anwar berkata hubungan perdagangan teguh yang menyaksikan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, menunjukkan kepentingan mendalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Ketika berucap pada majlis makan tengah hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China pada 20 Jun di Kuala Lumpur, Datuk Anwar semasa merujuk kepada interaksi dengan Encik Li, mengetengahkan sikap kepimpinan China yang dianggapnya amat mesra dan saling menghormati, di samping menekankan kepada pemahaman mendalam mengenai perbezaan budaya antara negara.

Malaysia dan China juga telah bertukar-tukar pandangan yang mendalam dalam banyak isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama dan mencapai muafakat, termasuklah dalam pengecualian visa untuk menggalakkan hubungan persahabatan kededua negara.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama kededua pemimpin utama negara itu, China bersetuju untuk melanjutkan pengecualian visa kepada rakyat Malaysia sehingga akhir 2025 dan Malaysia bersetuju membuat pengecualian sama sehingga akhir 2026.

Kededua pemimpin berkongsi kecenderungan untuk meneruskan rundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bersama untuk memudahkan kemasukan warga Malaysia dan China ke negara terbabit.

Sebelum ini, Encik Li ketika menghadiri majlis pecah tanah Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terminal Bersepadu Gombak, Selangor, pada 19 Jun bersama Datuk Anwar, mengulangi pendirian bahawa Malaysia sebagai jiran rapat dan rakan kongsi penting, menekankan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama dan memajukan pembangunan bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg