Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagi kes makanan beracun, kali ini biskut di Terengganu

Jul 15, 2024 | 3:00 PM
Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh, Kemaman, Terengganu, sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman, selepas pengsan sebaik sahaja memakan biskut yang dipercayai telah dicampur racun.
Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh, Kemaman, Terengganu, sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman, selepas pengsan sebaik sahaja memakan biskut yang dipercayai telah dicampur racun. - Foto ALIAS SARAS

CHUKAI (Terengganu): Seorang remaja nyaris maut selepas termakan biskut dipercayai dicampur racun di sebuah kebun pisang, dekat Kampung Air Puteh, Chukai, Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang 12 Julai, mangsa, Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun, terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh selepas pengsan sebaik sahaja memakan biskut berkenaan, sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, Encik Alias Saras, 57 tahun, berkata beliau dimaklumkan anaknya Mohd Daynail yang juga anak keempat daripada lima beradik itu termakan biskut beracun kira-kira 2 petang.

“Isteri saya, Cik Roslina Ahmad, 52 tahun, menghubungi saya memaklumkan anak pengsan selepas termakan biskut beracun itu.

“Mujur seorang bapa kepada rakan anak segera mengejarkan Mohd Daynail ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut.

“Syukur anak semakin pulih dan saya berharap dia cepat sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Alias berkata sebelum kejadian, anaknya itu bersama seorang rakan dalam perjalanan untuk pergi memancing.

“Mungkin ketika melalui sebuah kebun pisang dan kelapa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, anak saya termakan makanan yang dicampur racun itu.

“Makanan beracun terbabit mungkin tergantung di situ di atas sebatang kayu bagi tujuan untuk menghalau kera dan monyet di kebun itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu, kira-kira 4 petang, 14 Julai.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Baru-baru ini, dua beradik berusia dua dan tiga tahun meninggal dunia selepas termakan keropok makanan ringan yang dicampur racun tikus di Kulim, Kedah.

Kededua Allahyarham dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar di sebuah kebun berhampiran kediaman mereka, yang mengandungi racun bagi tujuan untuk perangkap monyet.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg