GUA MUSANG (Kelantan): Jalan Gua Musang-Kota Bharu, di Gua Musang, Kelantan, ditutup kepada semua kenderaan sejak 10 Oktober lalu, menyusuli kejadian lubang benam yang terbentuk di laluan berkenaan sedalam lapan meter.

Berikutan itu penduduk berhampiran kawasan kejadian itu menggesa pihak berkuasa menyegerakan kerja pembaikan kerana laluan itu menjadi nadi utama untuk rutin harian mereka.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku kira-kira 9.05 pagi berhampiran Taman Rekreasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Berikutan kejadian, semua kenderaan perlu menggunakan laluan alternatif iaitu melalui Jalan Pulai ke Bandar Baru Gua Musang.

Penduduk dari Taman Wira Perdana, Gua Musang, Cik Siti Fatimah Zaharah Ahmad, 41 tahun, berkata penutupan laluan utama itu menyebabkan beliau perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang teruk untuk menghantar bekalan makanan harian ke rumah ibunya yang uzur di Taman Wangi yang terletak berhampiran.

“Biasanya kami ada laluan alternatif untuk ke Taman Wangi jika jalan FT08 tidak dapat dilalui.

“Tetapi sejak 10 Oktober, jalan itu telah ditutup menyebabkan saya terpaksa menggunakan laluan jauh dan sesak untuk ke rumah ibu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Cik Suhaibah Abdul Ghani, 37 tahun, dari Taman Damar, Gua , berkata beliau juga terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh, namun bersyukur kerana tidak menempuh kesesakan lalu lintas atau terkandas akibat banjir ketika menghantar anak ke sekolah.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pemeriksaan teknikal dan kerja pembaikan kritikal perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerosakan struktur jalan itu merebak ke laluan bersebelahan.

Beliau berkata, hujan yang sering berlaku kebelakangan ini dikhuatiri boleh mempercepat pembentukan lubang benam baharu sekiranya struktur tanah di bawah jalan FT08 tidak diperkukuh segera.

“Laluan itu memerlukan pembaikan pantas kerana menjadi nadi utama penduduk untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.

JKR memaklumkan ia akan memasang jambatan Bailey di Laluan Persekutuan FT08, sepanjang jalan Gua Musang-Kota Bharu, yang ditutup sejak 10 Oktober, berikutan kejadian lubang benam itiu.

Menurut JKR kerja pemasangan jambatan itu dijangka bermula pada 14 Oktober dan siap dalam tempoh seminggu, bergantung kepada kestabilan tanah dan keselamatan tapak.

“Kejadian itu melibatkan Seksyen 205.556 hingga Seksyen 205.564, yang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan sejak 10 Oktober hingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Gua Musang dan sebaliknya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, Jalan Pulai-Bandar Baru Gua Musang, serta mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda jalan,” menurut kenyataan JKR.