Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lambaian selamat jalan rakyat Johor kepada Sultan Ibrahim

Jan 31, 2024 | 1:03 PM
Murid sekolah dan guru antara ribuan rakyat Johor yang berhimpun di tepi jalan untuk memberikan lambaian selamat jalan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ke Istana Negara, Kuala Lumpur, bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Malaysia pada 31 Januari.
Murid sekolah dan guru antara ribuan rakyat Johor yang berhimpun di tepi jalan untuk memberikan lambaian selamat jalan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ke Istana Negara, Kuala Lumpur, bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Malaysia pada 31 Januari. - Foto BHM

JOHOR BAHRU: Seorang warga Malaysia yang bekerja di Singapura bergegas pulang dari Lapangan Terbang Changi, Singapura, untuk menyertai ribuan rakyat Johor menyaksikan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, ke Kuala Lumpur.

Encik K Vadivelu, 48 tahun, yang bekerja sebagai pembantu kargo di lapangan terbang itu berkata beliau bergegas pulang ke Johor Bahru sebaik tamat syif bekerja pada 5 pagi 31 Januari.

Katanya, beliau tidak mahu melepaskan detik bersejarah bagi menyaksikan Sultan Ibrahim berarak bersama konvoi Diraja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru, untuk berangkat ke Istana Negara.

“Saya sangat mengagumi Sultan Ibrahim kerana beliau adalah Sultan yang amat prihatin dan banyak membantu rakyat termasuk masyarakat India di negeri ini.

“Sebab itulah saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan dan detik bersejarah bagi menyaksikan sendiri Sultan Ibrahim walaupun saya keletihan kerana masih belum tidur sejak semalam,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Lebih 30,000 rakyat Johor daripada pelbagai lapisan masyarakat memenuhi sepanjang laluan dari Istana Bukit Serene hingga LTAS, sejauh 35.5 kilometer (km).

Ia sempena keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat keluar dari pintu utama Istana Bukit Serene pada 8 pagi bersama konvoi Diraja ke LTAS untuk menaiki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Seorang pekerja swasta, Encik Hasbullah Halim, 53 tahun, pula berkata beliau mengambil cuti pada 31 Januari khusus bagi membawa keluarganya menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara.

Beliau berkata dua anaknya yang berusia 10 dan sembilan tahun paling teruja untuk memberikan lambaian selamat jalan kepada Sultan Ibrahim.

“Dua anak saya Mohd Shah Iqram, 10 tahun, dan Nur Aishah Ufairah, sembilan tahun, tidak dapat tidur semalaman kerana terlalu teruja dan tidak mahu terlewat menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim.

“Kami sekeluarga sudah bersiap sejak 5 pagi sebelum memutuskan untuk menunggu Sultan Ibrahim di Jalan Skudai, sejak 6.30 pagi tadi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg