LANGKAWI: Restoran mewah yang semakin lengang dan ruang kedai utama yang kosong antara kesan berakhirnya keistimewaan bebas cukai bagi kereta mewah di Langkawi, Malaysia.

Kehilangan tarikan khusus ini, yang dahulu menarik golongan hartawan bernilai tinggi, sedikit sebanyak memudarkan kepulauan itu.

“Peminat kereta mewah dahulu menempah bilik hotel secara berkumpulan, makan di luar dan bersiar-siar mengelilingi pulau,” kata Encik Mohamad Azhar Mohd Jamil, veteran dalam jualan dan khidmat kereta mewah di Langkawi.

Beliau berkata dalam beberapa bulan sahaja, penduduk pulau itu sudah merasai kehilangan golongan kecil tetapi kaya yang menjadi pelawat tetap.

“Kereta mereka kini hanya tersimpan di garaj kami. Pemiliknya nampaknya sudah hilang minat untuk datang, dan ini menjejaskan semua pihak, daripada hotel hingga pengusaha tarikan pelancongan kecil,” katanya.

Kereta mewah terpakai dan baru yang bernilai kurang RM300,000 ($95,140) masih bebas cukai, tetapi Encik Azhar berkata pengedar tidak lagi dibenarkan mempamerkannya di bilik pameran.

“Kami dahulu menyewa lot kedai di tapak utama supaya golongan kaya boleh singgah melihat kereta. Kini kami tidak boleh berbuat demikian, dan tidak banyak perniagaan mampu mengambil alih kedai kosong itu.

“Bakal pembeli tidak berminat datang ke garaj di pinggir untuk melihat kereta,” katanya.

Mulai 2026, kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000 di Langkawi dan Labuan tidak lagi menikmati pengecualian cukai kenderaan.

Kereta mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang dahulu berharga kurang RM2.5 juta kini sekitar RM5 juta atau lebih.

Encik Azhar berharap kerajaan mengkaji semula dasar itu.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Holiday Villa Beach Resort and Spa Langkawi, Cik Norsidah Ahmad, berkata ketiadaan pelanggan berada ini dirasai walaupun jumlah mereka segelintir.

Beliau berkata Langkawi sejak lama menarik pelancong mewah, peminat kereta mewah dan ahli kelab pemilik kenderaan, yang menggabungkan pembelian kereta dengan percutian.

“Tanpa status bebas cukai bagi kereta mewah, peluang menganjurkan acara kelab automotif yang menjana tempahan bilik hotel mungkin semakin berkurangan,” katanya.

Veteran industri, Encik Ong Seng Aun berkata kesannya hampir serta-merta, dengan pendapatan perniagaan penyimpanan dan penyelenggaraan kereta supernya susut lebih 50 peratus.

Beliau berkata banyak pusat simpanan kereta khusus kini kosong, manakala sektor berkaitan seperti pengangkutan dan penyelenggaraan kenderaan terhenti, menyebabkan ramai pekerja mahir mencari kerja lain. – Agensi berita.