KUALA LUMPUR: Lapan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang suapan secara bulanan.
Mereka dipercayai menerima wang rasuah setiap bulan berjumlah hampir RM12,000 ($3,449) daripada premis perniagaan asing yang beroperasi menggunakan lesen ‘Ali Baba’, iaitu lesen milik peniaga tempatan, di ibu kota itu.
Anggota penguat kuasa itu bertugas di pejabat PBT yang terletak berhampiran sebuah pasar harian di Kuala Lumpur.
Sumber berkata suspek lelaki berusia 30-an hingga 40-an tahun itu ditangkap di sekitar ibu kota dalam operasi khas Op Orange oleh SPRM Kuala Lumpur pada 22 Julai.
Menurutnya, operasi itu adalah hasil risikan yang dijalankan SPRM sejak awal 2024.
“Kesemua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki melindungi premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.
“Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis-premis berkenaan.
“Premis itu bukan saja menggunakan lesen ‘Ali Baba’, malah melakukan kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menyusuli tangkapan itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM40,000 yang dipercayai adalah hasil kegiatan haram mereka.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin, mengesahkan tangkapan itu dan berkata kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi tahanan reman.
Pada 17 Julai lalu, SPRM menangkap lapan individu yang disyaki memberi sogokan kepada anggota penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap premis mereka, yang menggaji warga asing serta beroperasi menggunakan lesen ‘Ali Baba’.
Enam daripada mereka telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda antara RM6,000 hingga RM10,000 setiap seorang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg