Muatan berlebihan sehingga 70 peratus melebihi had dibenarkan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan maut membabitkan lori muatan batu kerikil dan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengorbankan sembilan anggota polis di Perak pada Mei lalu.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), hasil siasatan Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan mendapati, lori tipper (pengangkut) terbabit membawa muatan melebihi had sehingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan, sebelum melanggar konvoi lori FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak ketika kejadian di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Laporan itu yang dikeluarkan selepas lima bulan kejadian menyebut ketika kejadian, lori tipper itu didapati membawa muatan batu kerikil dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram (kg), iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan pada 24,000 kg.
“Siasatan juga mendapati tiada sebarang kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng kenderaan.
“Sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi,” kata MOT dalam kenyataan pada 31 Oktober.
Laporan akhir pasukan petugas khas itu kini telah disiapkan dan dimuat naik di portal rasmi MOT untuk semakan umum mulai 31 Oktober.
Hasil pasukan petugas khas itu juga melaporkan semua anggota FRU yang maut dalam kemalangan itu mengalami kecederaan akibat impak bertenaga tinggi, dengan kecederaan utama melibatkan kepala, dada dan abdomen, mengakibatkan kecederaan dalaman serius yang menjadi punca kematian.
MOT berkata sebanyak 16 syor keselamatan dikemukakan dalam laporan itu, merangkumi enam bidang utama, termasuk peningkatan pematuhan ICOP - Keselamatan, penambahbaikan Akta 715, serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.
Kementerian turut menegaskan bahawa siasatan itu bukan bertujuan menentukan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya untuk memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat bagi mengelak tragedi seumpama itu berulang.
Laporan penuh boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang rasmi MOT di www.mot.gov.my mulai 31 Oktober 2025.
Laporan itu disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri, dengan tujuan mengenal pasti punca kejadian serta mencadangkan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, sembilan anggota FRU terkorban, manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg