KUALA LUMPUR: Hanya 20 minit dibebaskan dengan wang jaminan pada 19 Mei, pemandu lori batu yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Perak, pada 13 Mei, ditahan semula bersabit kes curi lembu.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45 tahun, mulanya dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin RM6,000 ($1,807) yang ditetapkan mahkamah berhubung dakwaan memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian sembilan anggota polis FRU di Teluk Intan.
Ketua Polis Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Bakri Zainal Abidin, berkata pihaknya difahamkan wang jaminan itu diperoleh daripada majikan dan rakan tertuduh secara dana perkongsian.
“Pemandu lori itu akan diberi jaminan mahkamah, yang mana majikannya sudah membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin,” katanya lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, tertuduh kemudian ditahan semula oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, Perak, di pejabat kaunter pembayaran jamin sekitar 12.20 tengah hari 19 Mei, bagi membantu siasatan kes curi lembu.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan, Rudi Zulkarnain, akan ditempatkan di lokap Batu Gajah, Perak, sehingga tarikh sebutan semula kes pada 17 Jun, selagi tidak ada yang membayar wang jaminan ditetapkan Mahkamah Teluk Intan, Perak.
Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah di depan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin pada 16 Mei atas semua sembilan tuduhan memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian, iaitu sembilan anggota polis FRU.
Bagi setiap tuduhan itu, Rudi Zulkarnain berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua tuduhan, selain syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.
Dalam tragedi ngeri pada 13 Mei, sembilan anggota polis FRU terbunuh, selepas trak yang mereka naiki terbabit dalam nahas dengan lori membawa muatan batu yang dipandu Rudi Zulkarnain, di Teluk Intan, Perak.
Kemalangan dipercayai berlaku akibat lori berkenaan mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kejadian turut menyebabkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan dirawat di Hospital Teluk Intan.
Ketika kemalangan, kesemua anggota FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak, selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Vesak pada 12 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg