Topik diikuti
Pergi ke BHkuLarian Putrajaya-Muar Syed Saddiq kumpul lebih RM50,000 hari pertama
Larian Putrajaya-Muar Syed Saddiq kumpul lebih RM50,000 hari pertama
Larian Putrajaya-Muar Syed Saddiq kumpul lebih RM50,000 hari pertama
KUALA LUMPUR: Hari pertama Larian Kesyukuran yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berjaya mengumpul RM54,692 ($17,293), sekali gus menghampiri sasaran kutipan RM200,000 sebelum ini.
Menerusi video yang dikongsi di Facebook, Syed Saddiq menyifatkan sambutan yang diterima sepanjang laluan larian dari Putrajaya ke Salak Tinggi sebelum berakhir di Labu, di Negeri Sembilan, amat luar biasa apabila orang ramai sanggup menunggu di tepi jalan bagi memberikan sokongan kepadanya.
Tunang pelakon dan penyanyi Malaysia, Bella Astilah itu mengakui terkejut dengan kehadiran penyokong, terutama di Labu, apabila ribuan orang masih menunggu sehingga lewat malam.
“Sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Salak Tinggi ada orang menunggu di tepi jalan untuk memberikan semangat, menghulurkan tangan dan mendoakan kami.
“Tetapi apabila sampai di Labu, saya langsung tidak sangka melihat lautan manusia yang masih menunggu walaupun sudah malam. Saya mungkin orang yang berlari, tetapi perjalanan ini digerakkan oleh anda semua,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya, menuju ke Muar, Johor, sebagai tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya di mahkamah sebelum ini.
Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.
Katanya, larian itu juga sebagai tanda penghargaan terhadap institusi kehakiman negara, selepas berdepan pertuduhan selama enam tahun sebelum dilepas dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Julai lalu.
Mantan Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dibebaskan daripada sabitan pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dan hukuman penjara, sebat dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2023.
“Di sinilah saya mendapatkan semula maruah dan integriti serta membersihkan nama saya selepas enam tahun berjuang mendapatkan keadilan.
“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata perjalanan mengumpul dana itu baru sahaja bermula dan berharap lebih ramai yang tampil untuk bersama-sama menyumbang di lariankesyukuranmuar.com seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan.
