KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut kunjungan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, yang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini, dengan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya, pada 19 Jun.
Encik Li, yang tiba di Malaysia pada 18 Jun untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada Mac 2023, disambut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejurus tiba pada 9.30 pagi di Dataran Perdana, sebelum lagu kebangsaan kededua negara dimainkan.
Encik Li kemudian memeriksa barisan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, lapor Berita Harian Malaysia.
Kunjungan itu bertepatan dengan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia-China sejak 30 Mei 1974, hasil inisiatif mantan perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein, yang menandatangani perjanjian, sekali gus menjadikan Malaysia negara Asean pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China.
Datuk Anwar meraikan rakan sejawatannya itu dalam majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana, yang turut dihadiri menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, serta beberapa menteri lain.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, turut menerima kunjungan Encik Li di Istana Negara sekitar 3.30 petang pada 19 Jun. Encik Li diiringi Duta Besar China ke Malaysia, Encik Ouyang Yujing, serta delegasi China.
Encik Li sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Datuk Anwar di Perdana Putra bagi memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang ada kepentingan bersama.
Kededua pemimpin juga menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Persetujuan (MoA) dalam pelbagai bidang kerjasama, antaranya ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan komoditi pertanian ke China.
Ia membabitkan sembilan kementerian, iaitu Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti); Kewangan; Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dalam Negeri; Sains, Teknologi dan Inovasi; Pendidikan Tinggi; Pelancongan, Seni dan Budaya; serta Komunikasi.
Untuk Miti, misalnya, pertukaran dokumen membabitkan dua MoU untuk memperkukuh kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.
Selain MoU tersebut, dua negara itu memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan lagi hubungan antara industri dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan, seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.
China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion ($129.27 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg