Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 39,000 pengundi bakal tentukan wakil rakyat baru Sungai Bakap, P. Pinang

Pilihan Raya Kecil dilihat sebagai ujian penting kerajaan di tengah-tengah isu jejas rakyat termasuk kos sara hidup meningkat
Jul 5, 2024 | 3:45 PM
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan pusat penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada 5 Julai.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan pusat penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada 5 Julai. - Foto BERNAMA

Debaran menanti parti politik dan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di Nibong Tebal, Pulau Pinang, berhubung calon manakah yang bakal memenangi persaingan sengit satu lawan satu dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada 6 Julai.

Lebih 39,000 pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih calon yang diyakini layak dan terbaik untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya dari Perikatan Nasional-Parti Islam SeMalaysia (PN-PAS), Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Allahyarham meninggal dunia akibat radang perut pada 24 Mei.

Gabungan Kerajaan, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mempertaruhkan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Joohari Ariffin, 60 tahun; manakala blok pembangkang, PN-PAS, mengetengahkan Encik Abidin Ismail, 56 tahun, yang juga mantan pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri.

Menjelang tempoh pengundian yang bermula 8 pagi selepas tamat tempoh berkempen selama 14 hari, semua pusat mengundi telah bersiap sedia dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan pengundi agar tidak keluar mengundi pada saat akhir.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pusat mengundi akan ditutup sebaik masa proses mengundi tamat pada 6 petang dan pengundi diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya.

“Sebarang perlanggaran undang-undang boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan pada 5 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap dilihat sebagai ujian penting buat PH-BN di tengah-tengah kehangatan isu menyentuh sensitiviti rakyat seperti penyasaran subsidi diesel dan peningkatan kos sara hidup, yang dijadikan modal politik dan kempen PN-PAS.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Chow Kon Yeow, menyeru pengundi DUN Sungai Bakap agar memilih Dr Joohari, yang akan mewakili satu lagi suara Melayu dalam Kerajaan Pulau Pinang.

“Setiap satu undi kepada Dr Joohari adalah usaha mengukuhkan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama sebagaimana diusahakan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya yakin beliau boleh berkhidmat dengan cemerlang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Calon PN-PAS, Encik Abidin, pula menitipkan ‘Tinta Buat Sungai Bakap’ di Facebook untuk merayu undi.

“Berada di Nibong Tebal sejak lahir adalah satu tempoh yang sangat panjang kerana di sini adalah tempat saya mencari rezeki, berkeluarga dan menabur bakti.

“Andai kata saya terpilih sebagai Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap kali ini, saya mohon sama-sama bergerak dengan saya dan saya tidak akan meninggalkan kerja kebajikan yang telah dilaksanakan sebelum ini,” tulisnya.

Sebanyak sembilan pusat mengundi akan dibuka, membabitkan seramai 39,151 pengundi berdaftar, dengan 57 pengundi terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg