Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 52% pengguna M’sia nikmati capaian 5G pada 2024

Menteri Komunikasi: Ia peningkatan penting daripada 10.8 % pada Okt 2023
Dec 17, 2024 | 5:14 PM
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil (tengah), ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 17 Disember.
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil (tengah), ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 17 Disember. - Foto FACEBOOK FAHMI FADZIL

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan perkembangan positif dalam pelaksanaan teknologi 5G, dengan lebih 52 peratus pengguna di negara itu sekarang kini menikmati akses kepada rangkaian tersebut.

Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, mengatakan bahawa ia adalah satu peningkatan signifikan berbanding angka pada 2023, dan mencerminkan usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk memperkukuh infrastruktur digital Malaysia.

Dilaporkan pada Oktober 2023 bahawa penerimagunaan 5G berada pada kadar 10.8 peratus, dengan angka terkini menunjukkan peningkatan hampir lima kali ganda.

“Ini angka yang sangat baik kalau nak dibandingkan dengan setahun lalu, dan kita juga telah berupaya menyelesaikan banyak masalah melibatkan projek Jendela (Jalinan Digital Negara), yang secara keseluruhan bagi fasa pertama menelan belanja RM5.15 bilion ($1.55 bilion).

“Banyak daripada masalah ini tidak mampu kita lakukan, tidak mampu kita selesaikan tanpa usaha sama yang baik, bukan hanya di pihak kementerian dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), malahan dalam kalangan pembina menara yang kita panggil pada bahagian pertama dan juga penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu bahagian kedua,” kata Encik Fahmi selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Disember di Putrajaya pada 17 Disember, lapor Astro Awani.

Mengenai perkembangan projek Jendela, Encik Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata setiap syarikat telekomunikasi mempunyai sasaran jumlah menara yang perlu disiapkan dan diaktifkan menjelang tarikh akhir yang telah ditetapkan, iaitu Jun 2025 bagi projek fasa pertama.

SKMM turut diminta supaya memperketatkan langkah keselamatan bagi menara telekomunikasi di kawasan yang sering terdedah kepada vandalisme, memandangkan tinjauan yang dilakukan di beberapa tapak menara didapati reka bentuk pagar terlalu asas, menjadikan menara tersebut terdedah kepada kerosakan atau kecurian.

Mengenai projek ‘Point of Presence’ (PoP) yang bertujuan melengkapkan lebih 4,000 sekolah di kawasan luar bandar dengan akses Internet, Encik Fahmi berkata setakat ini fasa pertama projek itu telah menyelesaikan pemasangan Internet di sekitar 700 sekolah, sementara lebih 3,000 sekolah sedang dalam proses pelaksanaan.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas diambil terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal menepati garis masa bagi projek PoP, berikutan kebimbangan mengenai penggunaan dana rakyat.

PoP dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur gentian optik di kawasan sekitar sekolah, kediaman, premis perniagaan, komersial dan industri serta penyelenggaraan infrastruktur gentian optik.

Ia adalah antara komitmen kerajaan Malaysia dalam menggalak penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat, baik di bandar mahupun luar bandar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg