Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih RM300j diperlukan baiki jalan rosak akibat banjir di M’sia

Dec 5, 2025 | 12:28 PM
Musim tengkujuh pada Monsun Timur Laut menyebabkan banyak kejadian tanah runtuh di Malaysia dan memerlukan kos pembaikan tinggi.
Musim tengkujuh pada Monsun Timur Laut menyebabkan banyak kejadian tanah runtuh di Malaysia dan memerlukan kos pembaikan tinggi. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menganggarkan sejumlah RM327.8 juta ($103.1 juta) diperlukan setakat ini untuk membaiki kerosakan kemudahan awam terutama jalan raya yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM225.9 juta diperlukan untuk kerja membaiki jalan raya; RM47.4 juta pembaikan komponen bukan turapan di jalan Persekutuan, manakala kira-kira RM54.5 juta pembaikan cerun runtuh.

Beliau berkata angka itu berdasarkan laporan kerosakan semasa dan berkemungkinan meningkat sekiranya terdapat laporan baru.

“Pada masa ini kami masih mempunyai bajet untuk kerja pembaikan, tetapi kita lihat dulu sejauh mana keadaan monsun kali ini.

“Setakat ini keadaannya agak terkawal… tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang lebih teruk dan kami berdoa agar ia tidak menjadi lebih buruk,” katanya pada sidang media dalam satu program di Kuala Lumpur pada 4 Disember, lapor portal berita, Free Malaysia Today.

Datuk Alexander berkata Kementerian Kerja Raya (KROM) mempunyai peruntukan teras sedia ada bagi melaksanakan kerja pembaikan segera dan permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan sekiranya kos keseluruhan melebihi bajet semasa.

Beliau turut merujuk kepada kelulusan peruntukan khas RM500 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bagi memperbaiki kemudahan awam yang rosak akibat banjir di beberapa negeri, yang menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pengurusan impak musim monsun.

“Peruntukan RM500 juta itu bukan sepenuhnya untuk KKR, ia meliputi keseluruhan pengurusan bencana. Sebahagian besar perlu diselaraskan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Musim tengkujuh yang menyebabkan banjir di beberapa negeri di Malaysia pada akhir November lalu telah memindahkan lebih 30,000 mangsa terjejas, dengan banyak kemudahan awam termasuk jalan raya dan binaan awam rosak.

Beberapa kejadian tanah dan tebing runtuh turut dilaporkan antaranya di Gua Musang, Kelantan; di Kuala Nerus, Terenggaanu dan di beberapa kampung di Kota Bharu, Kelantan.

Malaysia turut mengalami ribut tropika Senyar pada 29 November lalu yang awalnya diramal berterusan hingga 30 November, tetapi amaran ancaman ribut itu telah ditamatkan lebih awal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg