Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki nyaris maut kereta jatuh gaung tanah runtuh di Kelantan

Dec 3, 2025 | 3:32 PM
kelantan, tanah runtuh, gaung, gua musang
Seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terjunam ke dalam tanah runtuh di Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Kampung Pos Blau, di Gua Musang, Kelantan awal pagi 3 Disember. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO TULAR

Seorang lelaki patah tangan kiri selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam gaung yang terbentuk akibat tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan, pada awal pagi 3 Disember.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun dikatakan tidak menyedari kejadian tanah runtuh berkenaan dan tidak sempat mengelak sebelum keretanya terhumban ke dalam gaung berkenaan.

Kejadian menimpa mangsa dilaporkan disedari seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd yang sedang memantau kawasan terbabit dan terdengar suara lelaki meminta tolong.

Jalan runtuh berhampiran Kampung Pos Blau, Gua Musang itu telah ditutup oleh pihak berkuasa daripada laluan kenderaan bermula 12 tengah malam 3 Disember, namun mangsa dikatakan tetap meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang, menuju ke Pasir Puteh, Kelantan.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mangsa tidak sempat mengelak runtuhan tanah yang menutupi jalan sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung.

“Mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada 3 Disember.

Encik Sik dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak melalui jalan yang telah diisytiharkan tutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Kejadian tanah runtuh di Gua Musang itu adalah yang terbesar dalam tempoh Monsun Timur Laut musim ini, selain beberapa kejadian tanah runtuh lain di Kelantan dan Lembah Klang.

Sementara itu, JKR dalam perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan penutupan jalan Lojing-Gua Musang di laluan Seksyen 107.6 ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh.

JKR memaklumkan laluan itu akan ditutup bermula 3 Disember hingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan JKR.

Dalam perkembangan lain, banjir teruk yang menjejaskan beberapa negeri di Malaysia sejak akhir November lalu semakin pulih, dengan hanya sekitar 6,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 2 petang 3 Disember, Kelantan dan Terengganu yang paling teruk dilanda banjir baru-baru ini, hampir menutup kesemua PPS.

Perak dan Perlis masih merekodkan lebih 5,000 mangsa, sementara Selangor sudah menurun kepada kurang 1,000 mangsa yang masih berlindung di PPS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg