KUALA LUMPUR: Malaysia menganggarkan sejumlah RM327.8 juta ($103.1 juta) diperlukan setakat ini untuk membaiki kerosakan kemudahan awam terutama jalan raya yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM225.9 juta diperlukan untuk kerja membaiki jalan raya; RM47.4 juta pembaikan komponen bukan turapan di jalan Persekutuan, manakala kira-kira RM54.5 juta bagi pembaikan cerun runtuh.
Beliau berkata angka itu berdasarkan laporan kerosakan semasa dan berkemungkinan meningkat sekiranya terdapat laporan baru.
“Pada masa ini kami masih mempunyai bajet untuk kerja pembaikan, tetapi kita lihat dulu sejauh mana keadaan monsun kali ini.
“Setakat ini keadaannya agak terkawal… tidak seperti tahun-tahun sebelumnya dan kami berdoa agar ia tidak menjadi lebih buruk,” katanya pada sidang media dalam satu program di Kuala Lumpur pada 4 Disember, lapor portal berita, Free Malaysia Today.
Datuk Alexander berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai peruntukan teras sedia ada bagi melaksanakan kerja pembaikan segera dan permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan sekiranya kos keseluruhan melebihi bajet semasa.
Beliau turut merujuk kepada kelulusan peruntukan khas RM500 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bagi memperbaiki kemudahan awam yang rosak akibat banjir di beberapa negeri, yang menunjukkan iltizam kerajaan terhadap pengurusan kesan musim monsun.
“Peruntukan RM500 juta itu bukan sepenuhnya untuk KKR, ia meliputi keseluruhan pengurusan bencana. Sebahagian besar perlu diselaraskan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.
Musim tengkujuh yang menyebabkan banjir di beberapa negeri di Malaysia pada akhir November telah memaksa pemindahan lebih 30,000 mangsa terjejas, dengan banyak kemudahan awam termasuk jalan raya dan prasarana awam rosak.
Beberapa kejadian tanah dan tebing runtuh turut dilaporkan, antaranya di Gua Musang, Kelantan; Kuala Nerus, Terenggaanu; dan di beberapa kampung di Kota Bharu, Kelantan.
Malaysia turut mengalami ribut tropika Senyar pada 29 November yang awalnya diramal berterusan hingga 30 November, tetapi amaran ancaman ribut itu telah ditamatkan lebih awal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg