Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pukul pengawal peribadi kerana puasa: Majikan didenda 6 tahun, denda RM22,000

Mar 28, 2025 | 3:01 PM
Encik Mohd Azminizam Zulkepli, 48 tahun (tengah) dan Encik Ahmad Shamsuri Zailani, 31 tahun (kanan) terharu dengan keputusan Mahkamah Majistret Klang, Selangor, mengenakan hukuman penjara dan denda terhadap ahli perniagaan yang mencederakan mereka hanya disebabkan berpuasa pada 2021. 
Encik Mohd Azminizam Zulkepli, 48 tahun (tengah) dan Encik Ahmad Shamsuri Zailani, 31 tahun (kanan) terharu dengan keputusan Mahkamah Majistret Klang, Selangor, mengenakan hukuman penjara dan denda terhadap ahli perniagaan yang mencederakan mereka hanya disebabkan berpuasa pada 2021.  - Foto NSTP

KLANG (Selangor): Seorang majikan yang sebelum ini mengacukan pistol kepada pengawal peribadinya hanya kerana berpuasa dikenakan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 ($6,657) oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor, pada 28 Mac.

Majistret Siti Zubaidah Mahat membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang mewakili tertuduh, Chung Chee Yang, 47 tahun, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan terhadap semua tuduhan pindaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga seorang ahli perniagaan menjalani hukuman penjara tambahan 21 bulan jika gagal membayar denda.

Chung, didapati bersalah atas tiga tuduhan membabitkan ugutan, kecederaan serta mengeluarkan perkataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan terhadap dua pengawal peribadinya, pada 2021.

“Bagi kes mengugut, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan mangsa, tertuduh dipenjara setahun dan denda RM10,000.

“Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi, tertuduh dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 dengan semua hukuman pemenjaraan berjalan berasingan,” kata Majistret Siti Zubaidah.

Majistret Siti Zubaidah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sebaliknya memerintahkan hukuman penjara bermula serta merta.

Mengikut tuduhan pertama, Chung didakwa didakwa mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah pengawal peribadinya, Encik Mohd Azminizam Zulkepli, 48 tahun.

Mengikut tuduhan kedua, lelaki itu juga didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa, dengan niat melukakan perasaan agama Islam, yang didengar Encik Mohd Azminizam dan seorang lagi, Encik Ahmad Shamsuri Zailani, 31 tahun.

Bagi tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Encik Mohd Azminizam.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di luar rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara 9.30 hingga 10.30 malam, pada 13 April 2021.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nuruljannah Aimi dalam hujahannya ketika memohon hukuman berat buat tertuduh berkata Chung  bukan saja mencederakan mangsa, malah mengacukan pistol kepada pengawal peribadinya itu kerana berpuasa serta tidak patuh arahannya untuk tidak melakukan demikian.

“Kes ini berlaku pada hari pertama berpuasa iaitu pada 13 April 2021 dan diselesaikan pada hari terakhir Ramadan iaitu 28 Mac, iaitu selepas hampir empat tahun.

“Hukuman paling berat patut dikenakan kepada tertuduh supaya tiada lagi individu boleh menghina agama Islam atau menjadi angkuh serta bongkak selepas ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg