SEREMBAN: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samseng, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dekat bandar Seremban, Negeri Sembilan, pada 15 April.
Mangsa berusia 40 tahun dilibas berulang kali dengan parang oleh seorang daripada suspek yang selamba melakukan jenayah itu di kawasan tumpuan orang ramai, sekitar 7 malam, dan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Hatta Che Din, berkata pihaknya percaya kejadian itu membabitkan unsur samseng akibat dendam.
“Polis menerima maklumat pertama satu kejadian tetak menggunakan parang membabitkan mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun kira-kira 8.15 malam. Kes itu tular di media sosial.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di dalam bangunan pusat beli-belah ketika mangsa sedang berehat seorang diri sambil merokok,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Encik Mohamad Hatta berkata mangsa kemudian dikejutkan dengan kemunculan sekumpulan lelaki yang berlari dari eskalator aras bawah dengan salah seorang memegang senjata parang.
“Mangsa yang tidak sempat mengelak dikatakan dilibas berkali-kali oleh suspek.
“Selepas berjaya bangun, mangsa terus melarikan diri dan dipercayai diselamatkan rakan yang melihat kejadian.
“Seterusnya, mangsa dikejarkan ke hospital untuk bantuan kecemasan. Mangsa mengalami luka pada kedua-dua lengan, belakang dan kaki kanan dan dilaporkan stabil,” katanya.
Encik Mohamad Hatta berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Tharvin di talian 019-3666048 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg