Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Madrasah terbiar dekat rumah suspek serangan Ulu Tiram mungkin diroboh

May 21, 2024 | 3:51 PM
Jalan masuk ke bangunan Madrasah Luqmanul Hakim. yang terletak dekat rumah  keluarga suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di Kampung Sungai Tiram, Johor, yang tidak beroperasi sejak 2001.
Jalan masuk ke bangunan Madrasah Luqmanul Hakim. yang terletak dekat rumah keluarga suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di Kampung Sungai Tiram, Johor, yang tidak beroperasi sejak 2001. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Madrasah Luqmanul Hakim di Jalan Rabani, di Kampung Sungai Tiram, yang terletak berhampiran rumah suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, mungkin dirobohkan kerajaan Johor atas faktor keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan polis membuat pertimbangan itu kerana kebimbangan bahawa madrasah yang ditutup pada 2001 itu disalah guna oleh kumpulan tertentu bagi kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata sejak madrasah itu ditutup lebih 20 tahun lalu, MAIJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat itu.

“Semakan dibuat mendapati (Madrasah Luqmanul Hakim) tidak beroperasi sejak 2001 dan memang tiada permohonan untuk memperbaharui pendaftaran madrasah.

“Saya meminta Timbalan Pengarah Pengurusan MAIJ supaya mengadakan perbincangan dengan polis dan pasukan keselamatan lain untuk melihat keadaan bangunan tersebut.

Hasil semakan kita boleh mengisytiharkan bangunan itu tiada lagi kegiatan dan kebimbangan masyarakat yang mendakwa bangunan terbabit masih digunakan itu, saya boleh sahkan tidak lagi berlaku,” katanya selepas menyantuni masyarakat etnik Rohingya di kawasan Mukim Plentong, Johor Bahru, lapor Harian Metro.

Madrasah itu terletak di tanah persendirian berdekatan rumah keluarga suspek, yang berada dalam kawasan berpagar, kira-kira 19 kilometer dari bandar Johor Bahru.

Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan madrasah itu, yang difahamkan pernah menjadi ‘medan usrah’ ahli kumpulan pengganas sekitar 1996 dan 1997.

Madrasah itu juga difahamkan pernah menjadi tempat berkumpul bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI), Nasir Abbas dan Noordin Mat Top, iaitu ketua kumpulan serpihan radikal yang dikenali sebagai Tandzim Al-Qoidah Indonesia, yang maut dalam operasi pasukan khas antipengganasan Indonesia, Detasmen Khusus 88, di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah, pada 17 September 2009.

Encik Mohd Fared berkata sejak serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, beliau mendapat banyak aduan masyarakat tempatan yang menyuarakan kebimbangan serta bertanyakan tindakan pihak berkuasa terhadap premis madrasah itu.

Pada 17 Mei, dua anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban dalam serangan oleh suspek yang bertopeng dan bersenjatakan parang di balai polis itu pada kira-kira 2.30 pagi.

Suspek itu ditembak mati seorang anggota polis yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan, yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Koperal Mohd Hasif dilaporkan stabil dan telah dipindahkan dari wad unit rawatan rapi (ICU) ke wad biasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg