Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahasiswi M’sia maut, rakan parah dek motosikal langgar penghadang jalan

Jul 4, 2025 | 1:44 PM
Mahasiswi Universiti Malaysia Terengganu, Siti Ain Balqis Hamdan (gambar sisipan) maut sementara rakannya cedera parah setelah motosikal yang ditunggang mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan pada 3 Julai.
Mahasiswi Universiti Malaysia Terengganu, Siti Ain Balqis Hamdan (gambar sisipan) maut sementara rakannya cedera parah setelah motosikal yang ditunggang mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan pada 3 Julai. - Foto SINAR HARIAN

KEMAMAN: Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di selekoh masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini petang 3 Julai.

Mangsa yang maut, Allahyarhamah Siti Ain Balqis Hamdan, 23 tahun, berasal dari Gombak, Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Cik Nur Intan Syafiera Batrisya Hamzah, 22 tahun, dari Mantin, Negeri Sembilan, mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 3 petang.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan sebelum motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

“Siti Ain tercampak ke sebelah kiri jalan, manakala rakannya terjatuh di atas jalan raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi pada 3 Julai.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Mohd Izani Mohd Zain berkata, pihak universiti menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM12,500 ($3,771.36) kepada waris Allahyarhamah Siti Ain.

Katanya, bantuan itu merangkumi khairat kematian, pengurusan jenazah serta perlindungan di bawah Skim Perlindungan Pelajar UMT.

“Bagi pelajar yang cedera pula, pihak universiti turut menyalurkan bantuan Bingkas Kasih sebanyak RM500, serta menanggung kos rawatan hospital bernilai RM2,500 menerusi surat jaminan hospital.

“Pihak universiti amat berdukacita dengan kejadian yang menimpa kedua-dua pelajar ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg