Tindakan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli; dan rakan seperjuangannya, mantan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, meninggalkan PKR mungkin tidak menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara langsung.

Namun, pemerhati politik melihat perkembangan yang disifatkan percaturan nekad kerana Datuk Rafizi dan Nik Nazmi turut mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, iaitu Pandan dan Setiawangsa, sebagai antara ujian politik terbesar buat Datuk Anwar, terutama sebagai Presiden dan pengasas PKR.

Ini kerana Datuk Rafizi khususnya bukan sekadar mantan Timbalan Presiden PKR.

Beliau juga dilihat sebagai antara sosok penting yang memainkan peranan besar dalam membina naratif reformasi moden parti itu, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan kelas menengah bandar sejak terlibat dengan PKR pada 1999.

Datuk Rafizi yang pernah menjadi Pengarah Strategi dan Naib Presiden PKR dan Nik Nazmi, kededuanya mula ‘menjauh’ daripada PKR selepas masing-masing tewas mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, dalam pemilihan parti pada Mei 2025.

Tamparan lebih kuat buat Datuk Rafizi, 49 tahun, apabila beliau dicabar dan tewas di tangan mantan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah, puteri sulung Datuk Anwar.

Datuk Rafizi kemudian mengumumkan dirinya meletak jawatan selaku Menteri Ekonomi, sebelum disusuli Nik Nazmi, yang meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, juga pada Mei 2025.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub. - Foto FACEBOOK MOHAMMAD TAWFIK YAAKUB

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan langkah dua mantan menteri itu meninggalkan PKR tidak semestinya menyebabkan parti itu lemah mendadak.

Ini kerana ia masih mempunyai kekuatan jenama Pakatan Harapan (PH), jentera parti serta pengaruh Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata apa yang lebih membimbangkan ialah sekiranya lebih ramai pemimpin dan akar umbi mengikut langkah Datuk Rafizi kerana keadaan itu boleh mencetuskan persepsi PKR sedang mengalami krisis dalaman menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

POTENSI BERSAMA

Menurutnya, parti baharu yang diterajui Datuk Rafizi dan Nik Nazmi – Parti Bersama Malaysia (Bersama) – berpotensi menjadi pencabar kepada PKR dan PH terutama dalam kalangan pengundi bandar, golongan karyawan muda serta penyokong reformasi yang kecewa dengan hala tuju semasa PKR.

Namun, Dr Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) berkata, Bersama masih belum cukup kuat menggantikan PKR kerana belum memiliki jentera akar umbi dan struktur pertubuhan yang kukuh seperti PH.

“Cabaran terbesar parti Bersama ialah membina sokongan nasional dalam tempoh singkat menjelang pilihan raya.

“Tetapi jika mereka berjaya menarik lebih ramai pemimpin dan penyokong PKR, ia boleh memberi kesan besar kerana berisiko memecahkan undi tradisi PH di kawasan bandar dan campuran.

“Impak tindakan ini lebih kepada persepsi politik dan imej kestabilan PKR menjelang pilihan raya berbanding ancaman langsung terhadap kedudukan Datuk Anwar buat masa ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak.
Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak. - Foto SHAHIDAH ABDUL RAZAK

Bagi pengamat politik, Cik Shahidah Abdul Razak, pengunduran Datuk Rafizi bersama Nik Nazmi memberi kesan besar bukan sahaja kepada PKR, malah terhadap landskap politik negara secara keseluruhan.

Beliau berkata Datuk Rafizi bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membina strategi parti, malah berjaya menggerakkan kempen digital, menarik sokongan kelas menengah serta mempertahankan PKR ketika parti itu berada pada titik paling sukar.

Menurut beliau, tanpa Datuk Rafizi, iaitu antara orang kuat dalam kempen pembebasan Datuk Anwar ketika menghadapi kes mahkamah pada 1990-an, PKR berisiko kehilangan identiti pendukung reformasi dan dilihat sekadar menjadi sebuah parti kerajaan biasa.

“Ramai melihat pengunduran ini bukan sekadar isu individu, tetapi tanda suara reformis semakin dipinggirkan, budaya teguran semakin sempit dan PKR semakin jauh daripada semangat asal Reformasi 1998.

“Ini lebih membimbangkan daripada sekadar kehilangan seorang pemimpin,” katanya kepada BH.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, parti Bersama pula berpotensi menjadi fenomena baharu dalam politik Malaysia, sekiranya rakyat melihat parti itu sebagai lebih bersih, berdaya maju dan lebih dekat dengan idealisme reformasi.

“Kededua pemimpin itu mempunyai kebolehpercayaan dalam kalangan karyawan muda, pengundi bandar, kelas menengah dan pengundi celik dasar.

“Jika Bersama berjaya membawa imej lebih berani bercakap benar dan menjadi gantian kepada pengundi kecewa, ia mampu menjadi pencabar besar kepada PKR dan PH sendiri,” ujarnya.

KELUAR PARTI, PECAH UNDI

Mengulas lanjut implikasi tindakan keluar parti itu, Dr Mohammad Tawfik berkata, sekiranya budaya keluar parti dan penubuhan parti baharu semakin kerap berlaku, ia boleh menyebabkan perpecahan undi serta menjadikan landskap politik negara semakin tidak stabil.

“Malah risiko Parlimen tergantung selepas PRU akan datang juga semakin berpotensi kerana tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti jelas untuk membentuk kerajaan.

“Namun, saya melihat keadaan ini juga sebagai tanda demokrasi semakin terbuka kerana rakyat mempunyai lebih banyak pilihan politik dan alternatif kepimpinan,” katanya.

Cik Shahidah pula melihat secara simbolik tindakan Datuk Rafizi meninggalkan PKR dan memberi mesej tokoh-tokoh paling lama mempertahankan perjuangan Datuk Anwar sendiri mula kecewa.

Beliau berpandangan sebahagian kelompok reformis kini semakin menjauh daripada PKR kerana melihat parti itu semakin pragmatik, terlalu bertolak ansur dan kurang agresif dalam agenda reformasi institusi.

“Mereka mungkin masih menghormati Datuk Anwar, tetapi tidak lagi yakin terhadap hala tuju politik PKR hari ini,” kata Cik Shahidah.

Mengulas sejauh manakah pengaruh Datuk Rafizi boleh berkembang, Dr Mohammad Tawfik enggan menafikan pengaruh kuat beliau yang dikenali sebagai arkitek strategi parti serta tokoh reformasi.

Dalam tempoh 24 jam pendaftaran keahlian Bersama dibuka secara rasmi pada 18 Mei, sekitar 8,000 ahli sudah mendaftar.

Namun katanya, cabaran untuk Bersama muncul sebagai kuasa ketiga yang benar-benar kuat bukan mudah kerana politik Malaysia masih dikuasai gabungan besar seperti PH, Umno/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam jangka pendek, parti baharu Datuk Rafizi lebih berpotensi menjadi pemecah undi PH terlebih dahulu.

“Tetapi jika beliau berjaya menarik lebih ramai pemimpin kanan PKR, pengundi muda dan penyokong reformasi secara konsisten, tidak mustahil beliau boleh muncul sebagai kuasa ketiga yang lebih kuat menjelang siri pilihan raya akan datang,” katanya.

PENGARUH RAFIZI

Dalam masa sama, Dr Mohammad Tawfik turut melihat Datuk Rafizi akan kekal popular walaupun berada di luar kerajaan dan parti utama.

Menurutnya, Datuk Rafizi yang dikenali sebagai ‘raja data dan statistik’ sejak menubuhkan pertubuhan penyelidikan Invoke pada 2016, masih mempunyai kekuatan daripada sudut media, naratif politik, strategi data serta pengaruh dalam kalangan pengundi muda dan kelas pertengahan bandar.

Pandangan sama diutarakan Cik Shahidah, yang melihat Datuk Rafizi, berpotensi menjadi tokoh luar kerajaan paling berpengaruh kerana mempunyai kebebasan lebih besar di luar Kabinet.

“Di luar kerajaan, beliau boleh mengkritik tanpa sekatan, membina gerakan baharu, menjadi suara alternatif nasional dan menarik generasi muda progresif.

“Kadangkala pemimpin menjadi lebih berpengaruh di luar kerajaan berbanding berada dalam sistem,” katanya.

Dalam mendepani cabaran pergolakan PKR itu, Dr Mohammad Tawfik turut berpandangan Datuk Anwar perlu segera memulihkan keyakinan akar umbi PKR dengan menunjukkan parti masih terbuka kepada kritikan, reformasi dan kepelbagaian pandangan.

“Datuk Anwar juga perlu mengurangkan persepsi PKR kini terlalu berpusat kepada kelompok tertentu selain mempercepat beberapa agenda reformasi dan memberi lebih ruang kepada pelapis muda.

“PKR perlu memandang serius keadaan yang berlaku sekarang, yang boleh memberi kesan terhadap imej serta sokongan akar umbi parti,” katanya.

Menurut Cik Shahida pula, kegagalan PKR menguruskan permasalahan yang berlaku boleh mengundang penghijrahan lebih ramai pemimpin muda dalam mengikut langkah Datuk Rafizi, menyebabkan akar umbi hilang motivasi serta pengundi atas pagar mula menjauh.

Dalam konteks itu, beliau melihat Datuk Rafizi mungkin memperoleh kelebihan daripada sudut moral dan takrifan dalam jangka pendek.

Namun dalam jangka panjang, katanya, landskap politik Malaysia boleh berubah secara besar-besaran sekiranya Bersama berjaya membina gelombang sokongan anak muda.

“Datuk Rafizi mempunyai kelebihan yang jarang dimiliki ahli politik Malaysia kerana beliau mempunyai imej intelektual, teknokrat, penghubung maklumat dan simbol reformasi.

“Jika beliau berjaya menyatukan anak muda, pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional dan pejuang reformasi kecewa, Bersama boleh muncul sebagai kuasa penentu nasional,” katanya.

Bagi memulihkan keadaan, Datuk Anwar dan PKR perlu menghentikan politik mempertahankan diri, kembali kepada agenda reformasi sebenar dan membuka ruang kepada kritikan dalaman, tambah Cik Shahida.

Menurut beliau, teguran juga tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada parti.

“Bagi Datuk Rafizi pula, beliau perlu memberi fokus kepada usaha membina gerakan nasional, tidak terlalu menyerang Datuk Anwar secara peribadi serta mengetengahkan penyelesaian terhadap isu ekonomi dan institusi.

“Beliau juga perlu membuktikan dirinya bukan sekadar popular di media sosial malah benar-benar mampu membina gerakan massa yang kuat,” katanya.

Dr Mohammad Tawfik juga melihat Datuk Rafizi perlu membuktikan perjuangannya bukan sekadar didorong rasa kecewa selepas kalah pemilihan parti.

“Demi memastikan beliau dan Bersama terus relevan, Datuk Rafizi mesti membawa idea baharu, membina parti yang lebih tersusun dan memperkukuh naratif sebagai alternatif pejuang reformasi yang matang dan tekal,” katanya.