Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram kembali semangat bekerja

Aug 23, 2024 | 12:26 PM
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mohd Hasif Roslan (kiri) pada majlis Penyampaian Sumbangan Kepada anggota yang tercedera dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mohd Hasif Roslan (kiri) pada majlis Penyampaian Sumbangan Kepada anggota yang tercedera dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor. - Foto FACEBOOK JOHOR POST

KUALA LUMPUR: Sudah tiga bulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei berlalu, namun ‘bisa’ akibat kesan tembakan masih dirasai Sarjan Mohd Hasif Roslan hingga ke saat ini.

Bagaimanapun, kesakitan itu tidak sesekali mematahkan semangat anggota polis berkenaan untuk kembali bertugas di tempat baru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, sejak seminggu lalu.

Encik Mohd Hasif, 38 tahun, yang telah berkhidmat selama 14 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata tahap kesihatannya kini telah pulih 75 peratus dan hanya perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi di sebuah hospital.

“Bisa di tangan kiri masih terasa, kadang kala rasa kebas dan kurang deria rasa, tetapi dengan kekuatan tangan kanan tiada masalah. Saya sudah boleh bertugas serta lakukan aktiviti harian termasuk memandu kenderaan.

“Saya sentiasa ingatkan diri untuk kuat kerana kalau saya terus mengenang kejadian itu, saya tidak boleh bekerja.

“Jadi, saya kena sentiasa kuatkan semangat,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di IPD Kota Tinggi, lapor Malaysiakini.

Dalam serangan berdarah pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Encik Mohd Hasif cedera terkena tembakan di bahagian bahu dan pinggul kiri, manakala dua rakannya, Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said terkorban.

Menurut Encik Mohd Hasif hubungannya dengan kededua rakannya yang terkorban itu sangat rapat dan disifatkan seperti adik beradik.

“Pemergian mereka menjadi penguat semangat untuk saya terus bertugas selain dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan lain.

“Semangat untuk bertugas lebih kepada meneruskan ‘perjuangan’ anak-anak buah saya itu, mereka insan yang sangat baik. Jadi, apabila mereka ‘pergi’, saya tidak boleh lemah dan kena teruskan tanggungjawab sebagai anggota polis,” katanya.

Terdahulu, Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin, menyampaikan sumbangan daripada Respa berjumlah RM8,000 ($2,387) kepada Encik Mohd Hasif hasil kutipan derma yang dilancarkan persatuan itu.

Beliau berkata sebanyak RM34,000 derma berjaya dikumpul daripada ahli persatuan, orang awam dan syarikat korporat, dengan sumbangan berjumlah RM13,000 masing-masing sudah disalurkan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg