JOHOR BAHRU: Pemain industri pelancongan tempatan yakin sektor pelancongan di Johor tidak terjejas susulan kes serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu yang mengorbankan dua anggota polis Malaysia.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Encik Ivan Teoh, berkata dengan cuti sekolah Malaysia dan Singapura semakin hampir, hotel di Johor menjangkakan jumlah tempahan hotel yang memberangsangkan, terutama daripada pengunjung dan pelancong dari seberang Tambak.
“Kita percaya kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram adalah yang pertama dan sekali seumpamanya berlaku dan dijangka tidak akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan Johor.
“Dengan cuti sekolah Singapura akan bermula pada 25 Mei, yang juga serentak dengan cuti sekolah di Malaysia, kami menjangkakan jumlah tempahan yang memberangsangkan untuk hotel di Johor,” katanya, lapor The Star.
Ditanya mengenai langkah keselamatan yang lebih ketat yang diambil pihak berkuasa Singapura di pusat sempadan negara dan peningkatan kes Covid-19 di republik itu, Encik Ivan berkata ia tidak akan menghalang rakyat Singapura untuk datang ke Johor.
“Sebabnya kos sara hidup di Singapura sangat tinggi dan rakyat Singapura ingin melancong untuk berseronok di tempat-tempat menarik seperti di Indonesia, Thailand, Vietnam termasuk Johor khususnya sebagai negeri paling hampir dengan Singapura.
“Kami juga menjangkakan sejumlah besar pelancong dari China akan mengambil kesempatan daripada pengecualian visa untuk melancong ke Johor dan menginap di hotel di sini,” kata Encik Teoh.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Encik Jimmy Leong, berkata tragedi Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei adalah kes terpencil yang tidak akan menjejaskan ketibaan pelancong.
“Pihak berkuasa Malaysia telah menyatakan bahawa penyerang dalam kes itu bertindak sendirian dan bukan kumpulan terancang. Tambahan pula, kejadian berlaku di kawasan pinggir Johor Bahru dan bukannya dalam kawasan bandar.
“Apa yang penting ialah pihak berkuasa terus memberikan maklumat terkini mengenai kes itu yang boleh meredakan kebimbangan orang ramai,” tambahnya.
Encik Leong berkata di sebalik kejadian itu, tiada kumpulan pelancong yang membatalkan tempahan pelancongan mereka, sekali gus memberi petanda baik bagi industri pelancongan tempatan.
Dalam insiden berdarah pada 17 Mei lalu, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi anggota cedera berikutan serangan seorang lelaki bertopeng berusia 21 tahun di Balai Polis Ulu Tiram.
Penyerang yang bersenjatakan parang dan lengkap dengan perisai perlindungan diri berjaya ditembak mati seorang anggota polis yang cedera dalam kejadian terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg