Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan PM M’sia Ismail Sabri mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta
Senarai harta yang tidak diisytihar dianggar lebih RM127j; sebutan semula kes pada 29 Sep
Selepas tiga minggu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan yang dialaminya, mantan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 Ogos atas pertuduhan tidak mengisytiharkan harta dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit.
Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Jika disabitkan bersalah, mantan Menteri Pertahanan itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun dan didenda tidak lebih RM100,000 ($31,544).
Berdasarkan lampiran dalam kertas pertuduhan, senarai harta yang tidak diisytiharkan Datuk Ismail Sabri ialah wang tunai RM14.7 juta, serta pelbagai mata wang asing termasuk dolar Singapura yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM127.1 juta.
Turut tersenarai ialah lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1 kilogram setiap satu, selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram.
Sebelum ini pada Mac 2025, SPRM merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri dan empat bekas pembantunya.
Pada 2 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian memutuskan bahawa wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita oleh SPRM dalam siasatan berkaitan Datuk Ismail Sabri itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia selepas tiada pihak berjaya membuktikan wang itu diperoleh secara sah.
Dalam pendakwaan pada 27 Ogos, mantan Naib Presiden Umno itu didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis berkenaan telah dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Pendakwaan terhadap Datuk Ismail Sabri menjadikan beliau mantan Perdana Menteri ketiga yang menghadapi pertuduhan di mahkamah, selain Perdana Menteri keenam, Encik Najib Tun Razak, dan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kehadiran ahli politik itu ke mahkamah diiringi lebih 50 penyokong dari Bera, Pahang, yang datang dengan dua bas seawal 4.30 pagi pada 27 Ogos untuk memberikan sokongan kepada Datuk Ismail Sabri.
Pendakwaan terhadap Datuk Ismail Sabri sepatutnya dijalankan pada 7 Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan jantung, selepas dipanggil ke SPRM sebelumnya.
Beliau menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin terhadap Datuk Ismail Sabri dan menolak permohonan pihak pendakwaan supaya pasport pemimpin politik itu diserahkan kepada mahkamah.
Hakim Suzana juga menetapkan sebutan semula kes pada 29 September.
Siasatan terhadap Datuk Ismail Sabri dimulakan SPRM menyusuli siasatan ke atas empat pegawai kanan yang berkhidmat dengannya ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 15 bulan.
SPRM mula mengambil keterangan Datuk Ismail Sabri untuk menyiasat dakwaan salah guna dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti inisiatif Keluarga Malaysia, agenda pentadbiran beliau dari 2020 hingga 2022.
Sepanjang proses siasatan, Datuk Ismail Sabri hadir kira-kira 10 kali untuk memberi keterangan kepada SPRM.
Sementara itu, peguam mewakili Datuk Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshah, berkata pihaknya mempertimbangkan untuk mencabar pertuduhan terhadap anak guam mereka, dengan alasan aset yang didakwa gagal diisytiharkan itu kini berada dalam simpanan kerajaan.
